SHAH ALAM – Lima pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) direman disyaki bersubahat menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) berkaitan proses permohonan serta kelulusan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah.
Perintah reman selama tiga hari sehingga 6 Ogos ini terhadap kesemua suspek dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Menurut sumber, kesemua suspek yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30 hingga 40-an itu telah ditahan 1 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
“Siasatan awal mendapati kesemua pegawai ini disyaki bersubahat menggodam MyIMMs di samping membantu dalam proses mendapatkan kelulusan PLKS tanpa mengikut prosedur yang sah.
“Susulan tangkapan itu SPRM telah menyita lima unit telefon bimbit milik kelima-lima suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) dan 16 (a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette
















