Onn Hafiz melakukan lawatan di Hospital Pasir Gudang meninjau operasinya yang masih kekurangan kakitangan

PASIR GUDANG – Hospital Pasir Gudang (HPG) yang mempunyai kemudahan moden dan pelbagai bidang kepakaran masih belum dapat beroperasi sepenuhnya berikutan kekangan pengisian tenaga kerja.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, daripada keseluruhan 2,271 jawatan yang diperuntukkan di HPG, hanya 1,079 jawatan sudah diisi manakala 1,192 lagi masih kosong sehingga kini.

Jelas beliau, kekosongan tersebut membabitkan pakar perubatan, jururawat serta petugas kesihatan lain.

“Isu kekurangan tenaga kerja itu perlu diberi perhatian segera oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya hospital yang amat dinantikan rakyat Johor itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

“HPG telah dilengkapi dengan kemudahan moden, kapasiti yang besar serta pelbagai bidang kepakaran. Namun, hospital ini masih belum dapat beroperasi pada kapasiti sepenuhnya kerana berdepan isu pengisian tenaga kerja.

“Dengan kepakaran termasuk Pediatrik, Obstetrik dan Ginekologi, Anestesiologi, Radiologi, Patologi, Ortopedik, Otorinolaringologi serta Oftalmologi, HPG mempunyai potensi besar untuk memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan di Johor,” katanya selepas mengadakan lawatan di hospital berkenaan, hari ini.

Onn Hafiz melakukan lawatan meninjau operasi HPG di Pasir Gudang yang kekurangan kakitangan

Menurut beliau, pengoperasian penuh HPG penting bagi mengurangkan beban hospital sedia ada, selain memenuhi keperluan kesihatan penduduk Pasir Gudang dan kawasan sekitarnya yang semakin berkembang.

Beliau berkata, Kerajaan Johor akan terus bekerjasama rapat dengan KKM bagi memastikan keperluan hospital berkenaan dapat dipenuhi.

“Saya sekali lagi memohon perhatian dan pertimbangan segera daripada KKM agar proses pengisian jawatan di HPG dapat dipercepatkan,” katanya.

Hospital Pasir Gudang mula beroperasi secara berfasa pada 1 Ogos tahun lalu, melibatkan perkhidmatan awal seperti jabatan kecemasan serta beberapa kepakaran perubatan.

Pada 30 April lalu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menitahkan agar Hospital Pasir Gudang dapat beroperasi sepenuhnya dengan segera dengan isu perjawatan dan kelengkapan di hospital berkenaan perlu diselesaikan segera tanpa sebarang kelewatan.

Baginda bertitah merasmikan Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast