Seorang janda yang merancang bernikah dengan tunangnya hujung tahun ini ditangkap khalwat dalam rumah sewanya di Taman Daya, Johor Bahru, semalam

JOHOR BAHURU – Seorang janda yang merancang bernikah dengan tunangnya hujung tahun ini ditangkap khalwat dalam rumah sewanya di Taman Daya di sini, semalam.

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam satu kenyataan memberitahu, pasangan berkenaan diberkas penguat kuasa dalam satu operasi cegah maksiat sebuah flat di taman berkenaan pukul 12.05 tengah malam.

Menurut JAINJ, pasangan itu yang berusia 30-an dalam serbuan selepas menerima aduan daripada orang awam bahawa mereka berdua-duaan dalam rumah.

“Penguat kuasa tiba di rumah itu pukul 12.05 tengah malam sebelum mengetuk pintu dan dibuka lapan minit kemudian oleh seorang wanita yang berpakaian baju tidur paras lutut.

“Penguat kuasa memperkenalkan diri dan masuk ke dalam rumah untuk membuat pemeriksaan.

“Tiada orang lain ditemui di ruang tamu dan penguat kuasa bertanya kepada wanita berkenaan siapa lagi yang berada dalam rumah.

“Wanita itu menjawab, dia bersama-sama tunangnya yang sedang makan di dapur sebelum penguat kuasa pergi ke dapur dan menemui seorang lelaki yang berseluar panjang, namun tidak berbaju,” maklum kenyataan tersebut.

Menurut JAINJ, hasil soal siasat, pasangan itu bukan suami isteri dan mereka hanya mengaku sebagai tunang dan akan melangsungkan perkahwinan pada akhir tahun ini.

Jelas JAINJ, lelaki berkenaan berstatus bujang dan wanita pula seorang janda tiada anak serta mereka bekerja di daerah ini.

“Rumah itu adalah rumah sewa wanita yang tinggal seorang diri. Lelaki itu datang ke rumah dengan menaiki motosikal sekitar pukul 10 malam kelmarin sebelum penguat kuasa menerima aduan khalwat berkenaan.

“Menurut pengadu, lelaki itu kerap datang ke rumah berkenaan dan berada lama dalam rumah,” tambah kenyataan tersebut.

Pasangan berkenaan kemudian ditangkap khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast