Asim Yasin

KLUANG – Status permohonan status kampung-kampung Orang Asli di Kahang di sini yang diluluskan lebih setahun lalu masih belum menerima perwataan secara rasmi.

Jurucakap mereka, Asim Yasin, 58, mendakwa, sehingga kini tiada pewartaan secara rasmi atau bertulis daripada mana-mana pihak khususnya Pejabat Tanah Daerah (PTD) Kluang atau Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Sehingga kini empat perkampungan iaitu Kampung Orang Asli Sedohok, Air Pasir, Kuala Sengka dan Berasau diletakkan dalam rizab Orang Asli Seksyen 6 iaitu digazetkan sebagai kawasan kependudukan Orang Asli.

“Melalui Seksyen 6 ini adalah bertujuan untuk melindungi kawasan yang diduduki dan digunakan oleh masyarakat Orang Asli di pekan Kahang.

“Setakat ini tiada surat pewartaan rasmi diterima. Jaminan dan peromohonan diberikan menerusi cakap-cakap mulut sahaja, tiada hitam putih,” katanya ketika ditemui.

Katanya, tiga kampung lagi iaitu Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Punjut dan Sri Kenangan sudah mendapat kelulusan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) manakala Kampung Orang Asli Sri Tanjung masih dalam proses permohonan dan berada dalam kawasan rizab Hutan Simpan Kluang.

“Kami mendapat makluman kelulusan tujuh kampung Orang Asli berkenaan yang disampaikan oleh pihak Jakoa dan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang lebih setahun lalu.

“Namun hingga kini masih belum menerima apa-apa penyataan berkaitan kelulusan itu secara rasmi dari pihak Pejabat Tanah Daerah Kluang,” katanya.

Menurut Asim lagi, kebimbangan tentang pewartaan ini berasas kerana semua lapan kawasan perkampungan Orang Asli ini terletak berhampiran tanah milik persendirian dan rizab hutan simpan.

“Satu lagi perkampungan Orang Asli di Kahang ini iaitu Kampung Orang Asli Pucur berada dalam kawasan Tanah Sultanate Land,” katanya.

Sementara itu, bagi generasi anak muda Orang Asli, Shahrulnizam Ramlan, 25, dia amat mengharapkan agar pewartaan dapat diselesaikan agar tidak berlaku sebarang pertikaian pada masa hadapan.

Khairol Fazli, 24, pula berkata, sebagai generasi muda dan pewaris di kampung Orang Asli dia mahu melihat perwartaan secara bertulis dan rasmi amat penting sebagai jaminan kawasan kependudukan Orang Asli pada masa akan datang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast