SHAH ALAM – Selangor menyasarkan nilai ekonominya berkembang kepada RM612.5 bilion menjelang 2030 menerusi pelaksanaan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sasaran itu mampu dicapai sekiranya negeri mengekalkan pertumbuhan ekonomi sekitar RM20 hingga RM25 bilion setahun sepanjang tempoh pelaksanaan pelan pembangunan berkenaan.
Menurut Menteri Besar Selangor, kadar pertumbuhan tersebut juga dijangka membolehkan Selangor muncul sebagai negeri pertama di Malaysia yang mencatat nilai ekonomi melebihi RM500 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
“Sasaran pertumbuhan ekonomi sepanjang tempoh RS-2 adalah mampan dan berdaya saing. KDNK Selangor diunjurkan berkembang kepada RM612.5 bilion pada 2030 selepas pelaksanaan RS-2 selesai.
“Jika kadar pertumbuhan sekitar RM20 hingga RM25 bilion setahun dapat dikekalkan, Insya-Allah dalam tempoh dua tahun lagi Selangor akan mencapai nilai ekonomi RM500 bilion,” katanya pada Persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran, Tony Leong Tuck Chee berhubung prestasi dan sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.
Amirudin berkata, kerajaan negeri turut menetapkan sasaran pertumbuhan KDNK sebanyak 6.3 peratus bagi 2026, selaras dengan kekuatan asas ekonomi Selangor serta jangkaan aktiviti ekonomi yang terus berkembang.
Katanya, sasaran itu turut mengambil kira unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang meramalkan ekonomi global berkembang sebanyak 3.4 peratus, manakala Malaysia diunjurkan mencatat pertumbuhan 4.7 peratus pada tahun yang sama.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Selangor merekodkan pertumbuhan ekonomi 6.3 peratus tahun lalu melepasi sasaran asal 5.8 peratus serta mengatasi kadar pertumbuhan ekonomi nasional.
Menurutnya, pencapaian itu membuktikan Selangor terus menjadi pemacu utama ekonomi negara hasil pelaksanaan pelbagai dasar pembangunan dan inisiatif mesra pelaburan.
Beliau berkata, antara faktor yang menyokong prestasi berkenaan ialah pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1), program SPEED Selangor, pemerkasaan pihak berkuasa tempatan.
Juga peranan anak syarikat kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor perkhidmatan, pembuatan berteknologi tinggi, perdagangan, logistik, pelaburan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). – MalaysiaGazette
















