[Gambar fail] Gelagat peyokong Barisan Nasional dan Perikatan Nasional selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ketika di Istana Hinggap, Seremban, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 01 OGOS 2026.

Oleh: Dr. Ridzwan Ahmad

Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ke-16 merupakan satu lagi episod penting dalam memahami perubahan landskap politik Malaysia. Negeri Sembilan secara tradisinya dikenali sebagai sebuah negeri yang mempunyai budaya politik sederhana dan pragmatik. Para pengundinya cenderung menilai kestabilan pentadbiran, kemampuan calon serta prestasi kerajaan berbanding hanya bergantung kepada sentimen ideologi.

Namun, perubahan politik selepas PRU14 turut mengubah struktur persaingan. Politik Malaysia pasca PRU14 tidak lagi berada dalam kerangka lama yang hanya menyaksikan persaingan antara kerajaan dan pembangkang, tetapi berkembang kepada persaingan blok yang mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri.

Rentetan dari itu PRN Negeri Sembilan menjadi penting untuk dianalisis kerana selain membawa pertembungan dua penjuru ia juga menguji sejauh mana parti-parti politik mampu menyesuaikan diri dengan realiti baharu tersebut. Selain itu PRN ini juga memperlihatkan sejauh mana parti yang bertanding sendirian tanpa akar umbi yang kukuh mampu menarik kuasa pengundi.

Peralihan daripada politik dominasi kepada persaingan blok
Salah satu ciri utama politik Malaysia pasca PRU14 ialah berakhirnya era dominasi mutlak parti politik tertentu. Perubahan ini menghasilkan keadaan yang lebih kompetitif justeru kemenangan pilihan raya tidak lagi ditentukan semata-mata oleh kekuatan sejarah sesebuah parti.

PRN16 Negeri Sembilan memperlihatkan setiap parti perlu membina strategi yang lebih kompleks kerana kemenangan bergantung kepada gabungan faktor: gabungan blok, kekuatan organisasi, calon, demografi kawasan dan persepsi pengundi.

Dinamika BN, PH dan PN dalam persaingan negeri
Pertandingan PRN16 menunjukkan bahawa setiap parti dari blok tertentu memasuki pilihan raya dengan strategi yang berbeza. BN mempunyai kelebihan dari segi pengalaman pemerintahan, jaringan akar umbi dan sejarah panjang dalam politik Negeri Sembilan. Bagaimanapun, BN berhadapan cabaran untuk membina semula keyakinan pengundi selepas perubahan besar politik nasional. Kekalahan besar dalam PRU 15 menyebabkan parti tersebut tidak lagi dianggap pemain utama dalam pilihan raya Malaysia.

PH pula membawa kekuatan melalui sokongan tradisional di beberapa kawasan tertentu serta imej reformasi yang menjadi asas kemunculannya selepas PRU14. Namun, kekuatan PH tidak seragam antara komponennya. Ada yang hanya menyerikan suasana tanpa sumbangan yang ketara. Ada yang benar-benar dominan sehingga mampu menguatkan parti kompenan.

PN pula berusaha memperluaskan pengaruh dengan membawa naratif perubahan dan menawarkan alternatif kepada pengundi yang mahukan pilihan selain blok tradisional. Cabaran utama PN ialah bagaimana menukarkan sokongan politik kepada kemenangan kerusi secara berkesan walaupun kelihatan mendominasi masyarakat Melayu.

Kerjasama kerajaan pusat dan realiti persaingan negeri
Salah satu aspek menarik dalam PRN Negeri Sembilan ialah perbezaan antara hubungan politik di peringkat Persekutuan dengan realiti pertandingan di negeri. Walaupun PH dan BN berkongsi kuasa dalam kerajaan perpaduan di peringkat pusat, keadaan tersebut tidak membawa kedua-dua blok bergabung dalam pertandingan PRN Negeri Sembilan. Ia mengulangi corak pertandingan PRN di Johor. BN mengambil pendekatan politik tersendiri melalui persefahaman dengan PN, menyebabkan PH perlu menghadapi persaingan dengan strategi sendiri.

Situasi ini memberikan kesan terhadap prestasi komponen PH. DAP berjaya mempertahankan sebahagian besar kawasan tradisinya, namun terdapat juga kerusi yang berjaya dirampas oleh MCA sebagai komponen BN. PKR pula hanya mampu mempertahankan dua kerusi, manakala Amanah menghadapi cabaran apabila gagal mengekalkan kerusi yang ditandinginya.

Manakala BN walaupun berjaya menambah kerusi sehingga 18 dari 25 kerusi yang disertai masih memerlukan PN untuk memerintah Negeri Sembilan kecuali jika bergabung dengan PH. Oleh itu, kebangkitan BN masih diwarnai dengan persefahaman dengan PN yang memperolehi 7 kerusi dari 11 kerusi yang ditandingi, berbeza dengan PRN 16 Johor sebelum ini.

Malah ada pihak yang membuat andaian, jika PN bertanding 25 kerusi BN 11 kerusi keputusannya masih tidak banyak berbeza. Justeru gelombong biru masih samar di Negeri Sembilan berbanding Johor.

Semua fenomena ini menunjukkan bahawa kekuatan sesebuah gabungan tidak semestinya menghasilkan kesan yang sama terhadap semua komponennya. Dalam teori politik gabungan, kerjasama antara elit politik tidak semestinya diterjemahkan secara automatik menjadi sokongan pengundi di peringkat akar umbi.

Antara prestasi, calon dan kepentingan rasional
Keputusan PRN boleh dianalisis melalui teori pilihan rasional (rational choice theory) yang dikemukakan oleh Anthony Downs. Menurut pendekatan ini, pengundi membuat keputusan berdasarkan pertimbangan manfaat, kepentingan dan persepsi terhadap pilihan yang tersedia. Dalam konteks Negeri Sembilan, pengundi tidak hanya menilai identiti parti tetapi turut mengambil kira kemampuan calon, kestabilan kerajaan yang akan dipilih dan isu tempatan yang mencabar.

Teori retrospective voting pula menjelaskan pengundi sering membuat penilaian berdasarkan prestasi kerajaan terdahulu. Sekiranya kerajaan dianggap berjaya memenuhi harapan rakyat, peluang untuk mendapat sokongan meningkat. Sebaliknya, kelemahan pentadbiran boleh menyebabkan perubahan sokongan.

Dalam neratif PRN ini, keupayaan dalam mempertahankan kestabilan adat dan budaya tempatan yang menjadi sebahagian dari teras masyarakat di Negeri Sembilan dianggap suatu kekurangan. Aspek ini mungkin tidak diambil kira oleh sebahagiaan penganalisis politik namun kesannya
tidak boleh dinafikan secara mutlak secara limiah.

Dalam tradisi al-siyasah al-shar‘iyyah pula, pemerintahan dianggap sebagai pemikul amanah dari Allah s.w.t. yang bertanggung jawab menjaga kepentingan manusia. Ia menggabungkan dua kaedah maqasid al-shariah iaitu al-‘adl bayn a-nas ( keadilan dalam kalangan manusia- berdasarkan hak masing-masing) dan jalb al-masalih wa dar’ al-mafasid ‘an al-nas (pencapaian maslahah dan penolakan kemudaratan terhadap manusia).

Dalam hal ini al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah menegaskan pemimpin bertanggungjawab mengurus agama dan dunia masyarakat melalui pentadbiran yang teratur. Ibn Khaldun pula dalam al-Muqaddimah menjelaskan kestabilan sesebuah kerajaan bergantung kepada keadilan, hubungan yang baik antara pemerintah dan masyarakat serta kemampuan pemerintah mengekalkan solidariti sosial.

Pengundi yang terpengaruh dengan tradisi ini akan memilih parti atau blok yang mampu menunaikan hasrat tersebut. Ia didapati menjadi kecenderunga utama, membentuk pola pengundian yang mendominasi PRN 16 Negeri Sembilan. Natijahnya BN dan PN mendapat manfaat besar dari pola pengundian ini yang akhirnya menyumbang kepada kemenangan besar.

Hakikatnya PRN ini memperlihatkan bahawa pengundi semakin bersifat penilai dan tidak semata-mata bergantung kepada kesetiaan tradisional kepada parti. Justeru, didapati penyokong UMNO (BN) dan Pas (PN) walaupun pernah bermusuhan berpuluh tahun sanggup mengundi calon parti antara satu sama lain.

Implikasi  terhadap masa depan politik Malaysia
PRN Negeri Sembilan membawa beberapa pengajaran penting. Pertama, politik Malaysia kini memasuki era persaingan pelbagai blok yang memerlukan strategi lebih fleksibel. Kedua, kerjasama politik di peringkat pusat tidak semestinya menjamin kemenangan di peringkat negeri kerana pengundi membuat pertimbangan berdasarkan konteks setempat. Ketiga, kekuatan sesebuah parti tidak hanya bergantung kepada jenama nasional, tetapi kepada kemampuan organisasi tempatan dan penerimaan calon.

Keempat, perubahan generasi pengundi khususnya pengundi muda menjadikan parti politik perlu menyesuaikan pendekatan mereka dengan isu baharu seperti keadilan sejagat, ekonomi, peluang pekerjaan dan kualiti pentadbiran. Dalam kerangka maqasid al-shariah, penilaian rakyat terhadap pemerintah boleh difahami melalui persoalan sejauh mana pentadbiran mampu menjaga perkara asas seperti agama, ekonomi, keadilan sosial, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. Justeru, perubahan sokongan pengundi dalam PRN16 boleh dilihat sebagai satu bentuk penilaian masyarakat terhadap kemampuan parti dan calon dalam memenuhi tuntutan kemaslahatan rakyat yang bersifat sejagat.

PRN Negeri Sembilan menunjukkan politik Malaysia sedang bergerak ke arah fasa baharu yang lebih kompetitif dan kompleks. Kemenangan pilihan raya tidak lagi hanya ditentukan oleh sejarah parti atau kekuatan tradisional, tetapi melalui gabungan faktor strategi, calon, persepsi prestasi, naratif yang berkesan dan perubahan tingkah laku pengundi.

Dari perspektif politik moden, PRN ini menggambarkan proses penyesuaian sistem parti Malaysia terhadap realiti baharu. Dari perspektif politik Islam pula, perubahan sokongan rakyat merupakan manifestasi penilaian masyarakat terhadap kemampuan pemerintah memenuhi amanah dan menjaga kemaslahatan umum khususnya melibatkan agama, bangsa dan negara. Oleh itu, PRN16 bukan semata-mata pertandingan merebut kerusi, tetapi satu gambaran perubahan hubungan antara parti politik, negara dan rakyat dalam era politik Malaysia baharu.

Penulis dari Jabatan Fiqh-Usul Dan Sains Gunaan
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast