Seorang pengarah syarikat reka bentuk direman disyaki memberi rasuah kepada seorang bekas ketua pegawai operasi (COO) badan berkanun bernilai kira-kira RM300,000.

SHAH ALAM – Seorang pengarah syarikat reka bentuk direman disyaki memberi rasuah kepada seorang bekas ketua pegawai operasi (COO) badan berkanun bernilai kira-kira RM300,000 sebagai balasan membantu mendapatkan projek-projek ubah suai di badan berkanun itu.

Perintah reman selama dua hari sehingga 5 Ogos ini  terhadap suspek telah dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu telah ditahan jam 7.30 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2014 hingga 2018. Suspek dipercayai telah memberi rasuah dalam bentuk pengubahsuaian empat unit rumah milik bekas COO tersebut yang jumlah keseluruhannya bernilai kira-kira RM300,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah sumber, tangkapan dibuat susulan siasatan pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang telah didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lalu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast