SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor mengakui modus operandi kegiatan pencemaran sungai kini semakin sukar dikesan apabila terdapat premis yang melepaskan sisa buangan melalui sistem perparitan sebelum ia mengalir ke sungai.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, keadaan itu menyebabkan pihak berkuasa tidak boleh lagi menganggap kilang yang terletak berhampiran sungai sebagai punca utama setiap insiden pencemaran.
“Jangan beranggapan kalau kilang itu berada di tepi sungai, dialah yang mencemarkan sungai. Tidak semestinya.
“Ada kilang yang berada jauh, tetapi sistem longkang dan perparitannya bersambung sehingga ke sungai. Akhirnya, sisa itu tetap sampai ke sungai dan menyebabkan pencemaran,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr. Mohd Zawawi Ahmad Mughni (Sungai Kandis-PH) yang meminta kerajaan negeri menjelaskan tindakan terhadap syarikat yang didakwa berulang kali mencemarkan sungai termasuk kriteria penarikan lesen operasi.
Menurut Izham lagi, proses mengesan punca sebenar pencemaran bukan sesuatu yang mudah kerana pihak berkuasa perlu memastikan bukti yang diperoleh benar-benar mengaitkan pencemaran dengan premis yang disyaki.
Katanya, dalam sesetengah kes, siasatan boleh mengambil masa sehingga sehari bagi mengesan punca sebenar sebelum sampel air diambil sebagai bahan bukti.
“Sebaik sahaja kita mengenal pasti puncanya, kita akan mengambil sampel air sebagai bukti, menyita lokasi berkenaan untuk tujuan pembersihan dan menyerahkan pembuktian itu kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan lanjut,” ujarnya.
Beliau berkata, kebanyakan kes pencemaran sungai didakwa mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling manakala proses pendakwaan di mahkamah mengambil sedikit masa sebelum sesuatu kes dapat diselesaikan.
Tambah beliau, kompaun yang tinggi turut dikenakan terhadap premis yang didapati mencemarkan sungai sebagai langkah penguatkuasaan dan pencegahan.
Bagaimanapun, Izham berkata, antara cabaran terbesar yang dihadapi pihak berkuasa ialah kegiatan pembuangan sisa oleh pihak tidak bertanggungjawab menggunakan lori kerana pelakunya sukar dikesan.
“Kalau membabitkan kilang, kita masih boleh mengesan puncanya sebelum tindakan sitaan, kompaun dan pendakwaan diambil.
“Tetapi jika sisa dibuang menggunakan lori, kadangkala kita hanya menemui kesan pencemaran tanpa dapat mengenal pasti pihak yang melakukannya,” katanya. – MalaysiaGazette
















