Donald Trump

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin berkata beliau mahu memberi Iran “peluang terakhir” sambil mendakwa rundingan antara kedua-dua negara “sedang berlangsung”, meskipun dinafikan oleh Tehran.

“Iran tidak mahu diserang, dan mereka berkata mereka mahu berbincang,” kata Trump kepada pemberita di Pejabat Oval.

“Kami sedang berbincang atas permintaan Iran, dengan sokongan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan khususnya Qatar, selain beberapa negara lain,” katanya.

“Ini adalah peluang terakhir untuk mereka menandatangani satu dokumen yang baik,” kata Trump.

Ketika ditanya sama ada rundingan dengan Iran telah dibatalkan, Trump menjawab: “Rundingan sedang berlangsung sekarang.”

Trump berkata rundingan itu akan dilaksanakan dalam dua fasa, dengan fasa pertama memberi tumpuan kepada pembukaan semula Selat Hormuz, manakala fasa kedua membincangkan keupayaan nuklear Iran.

“Kami sedang membincangkan mengenai selat itu, pembukaannya, supaya ia dibuka sepenuhnya seawal esok, dan itu adalah fasa pertama. Fasa kedua ialah kami akan membincangkan keupayaan nuklear,” katanya.

Apabila ditanya lokasi rundingan itu, Trump berkata ia akan diputuskan “hari ini atau esok”, sambil menambah bahawa perbincangan akan berjalan dengan pantas.

Beliau turut menegaskan bahawa AS tidak akan membenarkan Iran mengenakan caj ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz.

“Tidak akan ada sebarang caj. Kami langsung tidak bercakap mengenai caj.”

Trump berkata harga minyak akan menurun selepas AS “selesai dengan Iran”, sambil menambah bahawa pengeluar minyak utama AS, ExxonMobil dan Chevron, “telah memperoleh keuntungan yang terlalu banyak.”

“Apabila anda melihat sebuah syarikat memperoleh keuntungan 12 kali ganda berbanding tahun sebelumnya, mereka sepatutnya memulangkan sebahagian daripada keuntungan itu kepada orang ramai dan mereka perlu menurunkan harga runcit kepada pengguna. Keuntungannya terlalu tinggi,” katanya.

Sementara itu, Iran pada Isnin menegaskan bahawa negara itu tidak sedang mengadakan rundingan dengan AS dan kini bekerjasama dengan Oman untuk mewujudkan “laluan sementara” di Selat Hormuz bagi memastikan pelayaran selamat melalui laluan strategik itu.

“Perbincangan kami dengan Oman ketika ini tertumpu kepada usaha memastikan laluan selamat bagi kapal-kapal di Selat Hormuz,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, dalam satu sidang media.

Baqaei menolak laporan mengenai rundingan antara Tehran dan Washington dengan berkata: “Kami tidak mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat.”

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, AS dan Iran saling melancarkan serangan ketenteraan, dengan Washington menyerang sasaran di dalam Iran, manakala Tehran membalas dengan menyasarkan apa yang didakwanya sebagai kemudahan dan aset ketenteraan AS di beberapa negara Arab, khususnya Jordan, Bahrain dan Kuwait.

Ketegangan itu tercetus susulan pemeteraian memorandum persefahaman antara Washington dan Tehran pada Jun serta pelancaran rundingan ke arah memuktamadkan satu perjanjian.

Bagaimanapun, rundingan itu kemudian menemui jalan buntu berikutan perbezaan pendapat berhubung jaminan keselamatan dan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz, yang merupakan antara laluan paling strategik di dunia bagi bekalan tenaga dan perdagangan global.

— BERNAMA-ANADOLU

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast