Pelajar kolej berusia 19 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Kluang hari ini untuk disambung reman sehari

KLUANG – Reman seorang pelajar kolej disambung sehari lagi bagi membantu siasatan kes seorang bayi yang ditemukan mati dengan kesan tikaman dalam mangkuk tandas di sini hujung bulan lalu.

Perintah reman terhadap remaja lelaki berusia 19 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurasidah A Rahman di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Lanjutan tempoh reman itu bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 315 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan atau cuba menyebabkan kematian bayi yang baru dilahirkan.

Perintah dikeluarkan oleh Majestrit Nurasidah A Rahman selepas lelaki berusia 19 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majestrit Kluang hari ini.

Suspek diwakili peguam bela Ramesh Vasan sebelum itu dikenakan perintah tahanan reman selama tujuh hari bermula 30 Julai lalu hingga hari ini.

Ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh dan Seksyen 315 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang dilakukan dengan niat hendak mencegah anak daripada dilahirkan hidup atau menyebabkan ia mati selepas dilahirkan.

Pada 29 Julai lalu, lelaki berkenaan ditahan polis pukul 1 petang selepas menerima laporan mengenai seorang pelajar wanita yang dimasukkan ke hospital kerana dipercayai baru melahirkan anak.

Siasatan lanjut di rumah sewa yang didiami pelajar wanita terbabit di sebuah rumah di Taman Setia Mutiara, di sini minggu lalu membawa kepada penemuan mayat bayi perempuan yang sudah meninggal dunia dan terdapat beberapa kesan tikaman pada badannya namun punca sebenar kematian masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, pelajar kolej wanita yang dipercayai melahirkan bayi perempuan tersebut masih ditahan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini bagi mendapatkan rawatan.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast