Logo Temasya SUKMA 2026

SHAH ALAM – Kurang dua minggu sebelum Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 membuka tirainya, kerajaan negeri Selangor mendedahkan temasya itu dianjurkan sepenuhnya menggunakan dana negeri kerana tidak menerima geran daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Pendedahan itu dibuat Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi ketika menjawab soalan tambahan pada sesi pertanyaan lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Menurut beliau, Selangor telah dimaklumkan sebagai tuan rumah SUKMA sejak 2024 dan beberapa permohonan rasmi telah dikemukakan kepada KBS bagi mendapatkan bantuan kewangan namun sehingga kini tiada sebarang peruntukan diluluskan.

“Saya telah menulis surat kepada dua Menteri Belia dan Sukan termasuk menteri terdahulu. Ketika itu tiada maklum balas diterima.

“Selepas Menteri Belia dan Sukan yang baharu dilantik, saya sekali lagi mengemukakan surat permohonan. Ada respons diberikan tetapi tiada sebarang dana disalurkan kepada Selangor,” dedah beliau.

Mohd Najwan Halimi.

Mohd Najwan berkata, keadaan itu menyebabkan kerajaan negeri menanggung sendiri kos penganjuran SUKMA 2026 dengan menggunakan peruntukan negeri serta sokongan penaja.

Beliau berpandangan, amalan itu tidak seharusnya berterusan kerana penganjuran temasya sukan terbesar negara itu wajar mendapat sokongan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan seperti yang dinikmati negeri-negeri tuan rumah sebelum ini.

“Kalau ada ahli Parlimen dalam dewan ini, bolehlah bangkitkan perkara ini di Dewan Rakyat supaya KBS memberikan justifikasi mengapa Selangor tidak menerima sebarang geran.

“Selama ini Selangor bergerak secara persendirian. Pada pandangan saya, keadaan ini tidak begitu sihat dan selepas ini mana-mana negeri yang menjadi tuan rumah SUKMA sewajarnya menerima peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, sebagai perbandingan, Sarawak dilaporkan menerima hampir RM50 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi penganjuran SUKMA 2024 dengan keseluruhan kos temasya itu melebihi RM250 juta.

“Insya-Allah Selangor mampu menganjurkan SUKMA dengan kerangka perbelanjaan sekitar RM50 juta sahaja. Kita juga mendoakan Kelantan sebagai tuan rumah SUKMA 2028 akan mendapat sokongan yang sewajarnya,” katanya.

Mengulas persiapan venue, Mohd Najwan berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan tidak membina sebarang fasiliti sukan baharu menggunakan dana negeri sebaliknya hanya menaik taraf kemudahan sedia ada supaya dapat dimanfaatkan masyarakat selepas temasya berakhir.

Katanya, kerja naik taraf membabitkan kemudahan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dianggarkan bernilai antara RM50 juta hingga RM70 juta dengan projek terbesar ialah naik taraf Pusat Akuatik Darul Ehsan yang menelan kos kira-kira RM40 juta selepas lebih 30 tahun beroperasi.

Selain itu, Lapang Sasar Menembak Subang turut dinaik taraf membabitkan kos sekitar RM7 juta hingga RM8 juta bagi memenuhi keperluan penganjuran SUKMA.

Menurut beliau, Pusat Akuatik Darul Ehsan kini digunakan sebagai lokasi latihan atlet dan dijangka dibuka kepada orang ramai bermula Oktober depan manakala Lapang Sasar Menembak Subang juga akan dibuka untuk kegunaan awam selepas temasya selesai.

“Prinsip kita jelas, tiada fasiliti baharu dibina khusus untuk SUKMA menggunakan wang kerajaan negeri. Apa yang dinaik taraf hari ini akan terus dimanfaatkan masyarakat selepas temasya berakhir,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, anggaran asal kos penganjuran SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 melebihi RM203 juta namun berjaya dikurangkan kepada sekitar RM50 juta hasil langkah penjimatan yang dilaksanakan susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Katanya, tumpuan perbelanjaan kini hanya diberikan kepada aspek penting seperti penyediaan venue pertandingan tanpa menjejaskan standard kejohanan serta kebajikan atlet yang bertanding.

Beliau berkata, majlis pembukaan juga akan diadakan secara sederhana dengan hanya melibatkan perbarisan kontinjen SUKMA dan Para SUKMA, selain penyertaan setiap kontinjen dihadkan kepada 45 atlet.

“Daripada keseluruhan kos RM50 juta itu, kerajaan negeri menyediakan peruntukan utama manakala hampir RM8 juta lagi diperoleh menerusi tajaan daripada pelbagai pihak,” katanya.

Mohd Najwan turut memaklumkan Selangor meletakkan sasaran muncul juara keseluruhan SUKMA XXII dengan kutipan 80 pingat emas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast