Guan Eng muat naik gambar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng memohon kerajaan mempertimbangkan lima projek pembangunan bernilai hampir RM1 bilion serta cadangan mewujudkan Zon Kewangan Khas (ZKK) di Ampang Jajar untuk dimasukkan dalam Belanjawan Persekutuan akan datang.

Guan Eng mantan Ketua Menteri Pulau Pinang dan kini Penasihat Kebangsaan DAP berkata, perkara itu dimaklumkan menerusi satu hantaran di Facebook hari ini dan turut memuat naik gambar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, beliau telah menyerahkan sendiri sepucuk surat permohonan kepada Anwar ketika pertemuan pada 20 Julai lalu.

Katanya, beliau berharap Perdana Menteri dapat mempertimbangkan cadangan itu agar projek-projek berkenaan dapat diluluskan bagi merealisasikan hasrat menjadikan Butterworth sebagai bandar raya antarabangsa kedua di Pulau Pinang, selain meningkatkan daya saing kawasan itu dan wilayah utara.

“Perdana Menteri turut menyatakan pembangunan wilayah utara perlu terus diberi perhatian dan beliau berpandangan positif terhadap cadangan-cadangan yang dikemukakan.

“Bagaimanapun, projek-projek yang akan diluluskan hanya akan diketahui apabila Belanjawan Persekutuan dibentangkan kelak,” tulis beliau.

Guan Eng berkata, antara projek yang dicadangkan ialah menaik taraf Jalan Persekutuan FT001 daripada dua kepada empat lorong melibatkan kos RM825 juta, pembinaan Klinik Kesihatan Butterworth baharu bernilai RM130 juta.

Juga RM4.405 juta bagi kerja penyelenggaraan dan naik taraf Jalan Persekutuan serta RM500,000 untuk menaik taraf jalan di belakang SJK(C) Kwang Hwa.

Selain itu, beliau turut mencadangkan penubuhan Zon Kewangan Khas di Ampang Jajar yang melibatkan kawasan Parlimen Bagan dan Permatang Pauh serta pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Taman Kerapu bernilai RM8 juta di Seberang Perai Utara.

Menurutnya, kesemua projek itu mempunyai kepentingan strategik bukan sahaja kepada Pulau Pinang, malah seluruh wilayah utara kerana mampu meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan, memperkukuh keselamatan pengguna jalan raya, menambah baik kemudahan kesihatan awam serta merancakkan pelaburan dan aktiviti ekonomi.

Beliau berkata, daripada semua cadangan tersebut, penubuhan Zon Kewangan Khas di Ampang Jajar merupakan projek paling penting kerana dijangka mampu menarik pelaburan melebihi RM5 bilion dan menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Butterworth untuk jangka panjang.

Katanya, Butterworth kini mempunyai pelbagai projek pembangunan berskala besar yang sedang dilaksanakan dan dirancang dengan nilai dianggarkan kira-kira RM7.5 bilion.

“Sekiranya lima projek baharu bernilai hampir RM1 bilion ini turut diluluskan, ditambah pula dengan potensi pelaburan daripada Zon Kewangan Khas, saya yakin Butterworth akan melangkah ke satu fasa pembangunan yang baharu dan lebih pesat.

“Matlamat utama saya bukan sekadar mengejar angka pelaburan atau nilai projek yang besar.

“Yang lebih penting ialah memastikan pembangunan ini mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, menarik pelaburan berkualiti serta membolehkan lebih ramai anak muda membina kerjaya dan masa depan mereka di tanah air sendiri khususnya di Butterworth dan kawasan utara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast