Pengerusi Jawatan kuasa Wang Kira-Kira Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin. Foto SADIQ SANI, 12 FEBRUARI 2026

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendesak Kerajaan agar segera mengisi kekosongan jawatan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang dilaporkan telah berlarutan selama 83 hari, demi memastikan hala tuju dan tadbir urus sektor padi negara tidak terus terbiar tanpa kepimpinan.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, tindakan melengahkan pelantikan itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan sektor padi merupakan tiang seri kepada isu keterjaminan makanan negara yang menuntut perhatian berterusan.

“Saya menyokong penuh kenyataan dan teguran yang diutarakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir yang sebelum ini membangkitkan kebimbangan berhubung tempoh kekosongan pimpinan utama agensi berkenaan yang sudah mencecah 83 hari.

“MADA menguruskan kawasan jelapang padi terbesar negara dan agensi sebegini kritikal tidak wajar dibiarkan ‘berhaluan tanpa nakhoda’ dalam tempoh sedemikian lama terutamanya ketika pesawah kini dihimpit pelbagai kemelut berantai di padang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pesawah ketika ini berhadapan cabaran cukup getir daripada isu kelewatan bekalan baja subsidi, gangguan pengairan, lonjakan kos input pertanian sehinggalah kepada desakan untuk meningkatkan produktiviti hasil.

“Justeru, MADA memerlukan kepimpinan yang tegas dan berwawasan untuk menerajui agensi ini secara berkesan

“Sokongan PAC terhadap gesaan untuk disegerakan pelantikan itu berteraskan komitmen untuk memastikan tiada sebarang kelompangan kepimpinan yang boleh menjejaskan ekosistem pengeluaran beras nasional,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati mengulangi ketegasan PAC mengenai sebarang kelemahan dalam tadbir urus, sistem pemantauan dan pelaksanaan program pertanian perlu ditangani secara drastik bagi menyumbat sebarang ruang ketirisan.

“Langkah itu penting bagi memastikan setiap ringgit subsidi dan bantuan Kerajaan benar-benar sampai kepada sasaran serta memperkukuh sistem penyampaian kepada golongan pesawah di peringkat akar umbi.

“PAC kini sedang melaksana prosiding siasatan khas berhubung pengurusan program penanaman padi serta pengagihan subsidi benih padi negara.

“Siasatan mendalam itu bertujuan mengenalpasti punca kelemahan sistem sedia ada, sekali gus mengesyorkan kaedah penambahbaikan terbaik demi memantapkan pengurusan sektor beras nasional dan menjamin bekalan makanan rakyat sentiasa mencukupi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

83 hari tanpa pengganti, lantik segera Pengerusi MADA baharu – Mohd Ashraf

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast