Orang ramai terpaksa menunggu masa yang lama untuk mendapat rawatan ketika ini di Klinik Kesihatan Mengkibol, Kluang

KLUANG – Sesak, beratur panjang dan menunggu masa yang lama untuk giliran mendapat rawatan.

Itu adalah gambaran dan situasi biasa di Klinik Kesihatan (KK) Mengkibol di sini kerana pertambahan pesakit dan kakitangan sedia ada tidak dapat menampung kapasiti sedia ada.

Naib Ketua UMNO Bahagian Kluang, Mohd Khairul Ishak berkata, situasi itu berlaku setiap hari menyebabkan orang ramai terpaksa menunggu dalam tempoh lama antara tiga hingga empat jam untuk mendapatkan rawatan.

Pada masa sama katanya, pesakit dan mereka yang berurusan juga berada dalam keadaan tidak selesa akibat daripada terlalu ramai dalam satu ruang sempit.

“Kementerian Kesihatan (KKM) dan kepimpinan masyarakat setempat di Kluang digesa mencari satu jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah ini

“Keadaan ini sudah berlarutan lebih setahun dan bertambah teruk sejak bulan April tahun ini apabila Jabatan Pesakit Luar Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom tidak menerima pesakit tanpa temujanji.

“Pesakit diarahkan ke klinik kesihatan atau klinik komuniti terdekat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jelasnya, akibat daripada keadaan itu KK Mengkibol terpaksa menampung limpahan pesakit tanpa ada penyelesaian jelas daripada mana-mana pihak termasuk kepimpinan setempat.

Katanya, projek pembinaan klinik kesihatan baharu di daerah ini yang bermula Mac 2025 dan dijangka siap Mac 2029 terlalu lama untuk digunakan sebagai jalan penyelesaian kesesakan pesakit di Klinik Kesihatan Mengkibol ini.

“Untuk itu, saya mencadangkan satu tindakan segera perlu dilakukan bagi mengatasi masalah ini antaranya menambah jumlah kakitangan seperti doktor dan jururawat serta waktu perkhidmatan ditambah kepada satu masa sesuai tidak seperti sedia ada sekarang.

“Selain itu, penyediaan klinik bergerak atau klinik sementara berhampiran KKM Mengkibol serta melakukan pelan jangka pendek bagi menampung kedatangan pesakit sehingga tempoh klinik baharu di bandar Kluang siap sepenuhnya perlu dilakukan segera,” katanya.

Menurut Mohd Khairul, masalah seperti ini perlu dibawa keperingkat tertinggi KKM agar dapat diatasi secara tuntas dan membolehkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.

“Kepentingan utama disini adalah untuk kita sama-sama membantu pesakit dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast