KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Maira Hasim menafikan penglibatannya dengan mana-mana kelab peminat yang mengenakan yuran keahlian, selain memaklumkan terdapat pihak tidak bertanggungjawab mewujudkan beberapa akaun media sosial palsu menggunakan namanya.
Menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu, Maira berkata, pihaknya menerima beberapa aduan berhubung kewujudan akaun palsu di Facebook dan platform media sosial lain yang menggunakan identitinya.
Menurut beliau, lebih membimbangkan apabila terdapat individu yang menyebarkan mesej berantai kononnya wujud kelab peminat rasmi Maira Hasim yang memerlukan bayaran yuran keahlian.
“Saya ingin membuat pengumuman bahawa akaun Facebook Page Maira Hasim ini adalah akaun rasmi untuk segala aktiviti dan hebahan saya.
“Selain daripada akaun ini, ia adalah akaun palsu. Saya mohon tuan-tuan dan puan-puan membuat laporan terhadap akaun-akaun tersebut agar tidak timbul kekeliruan pada masa akan datang,” katanya.
Dalam masa sama, Maira turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah menubuhkan sebarang kelab peminat berdaftar mahupun mengenakan yuran keahlian kepada orang ramai.
Beliau berkata, sebarang tawaran berkaitan keahlian atau kutipan bayaran yang didakwa dibuat atas namanya adalah tidak benar dan perlu diabaikan.
“Saya juga ingin membuat penafian bahawa tiada apa-apa keahlian berdaftar serta yuran diwujudkan oleh saya.
“Jadi saya mohon semua abaikan segala tawaran yang dimaklumkan kononnya datang daripada saya,” katanya.
Sehubungan itu, Maira berharap penjelasan tersebut dapat mengelakkan orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Dalam pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan minggu lalu, Maira memperolehi 14,209 undi, meninggalkan pesaingnya daripada Pakatan Harapan (8,930 undi) dan Bersatu (1,985 undi). – MalaysiaGazette
















