Screenshot

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang akan menjalankan penilaian keselamatan struktur terhadap semua bangunan warisan susulan kejadian runtuhan struktur di Lebuh Armenian yang mengakibatkan sepasang pelancong warga Sri Lanka cedera semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye berkata, kerajaan negeri akan berbincang dengan Jabatan Warisan Negara bagi menjalankan kajian serta melantik jurutera bebas untuk mengenal pasti bangunan warisan yang tidak selamat.

Katanya, langkah itu penting bagi membolehkan penilaian dibuat secara bebas sebelum tindakan lanjut diambil.

“Sebaik sahaja hasil kajian diperoleh, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) boleh mengeluarkan notis kepada pemilik bangunan supaya menjalankan kerja-kerja pembaikan yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut Jason H’ng berkata, usaha memelihara nilai warisan bangunan tidak seharusnya mengabaikan aspek keselamatan awam.

Beliau berkata, walaupun kerja pemuliharaan bangunan warisan perlu mengekalkan fasad asal, penggunaan bahan asal seperti kayu tidak semestinya perlu diteruskan jika tidak lagi sesuai.

“Saya sudah mengingatkan Jabatan Warisan supaya mempertimbangkan penggunaan bahan alternatif. Tidak semestinya perlu menggunakan kayu semula, asalkan rupa asal bangunan dikekalkan.

“Bahan lain boleh digunakan bagi memastikan keselamatan orang ramai tanpa menjejaskan penampilan asal bangunan warisan,” katanya.

Mengulas perkembangan mangsa, beliau berkata, pelancong lelaki warga Sri Lanka yang cedera dalam kejadian itu sudah dibenarkan keluar dari Hospital Pulau Pinang (HPP), manakala isterinya masih menerima rawatan lanjut.

“Isterinya dijangka menjalani imbasan Tomografi Berkomputer (CT scan) di hospital berkenaan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Rasuk dimakan anai-anai punca runtuhan di Lebuh Armenian

pasangan-pelancong-cedera-ditimpa-runtuhan-rasuk-di-lebuh-armenian/

Media semalam melaporkan, dua pelancong warga Sri Lanka, Mohamad Ammtar, 66, dan Fatimah, 55, cedera selepas dihempap runtuhan batu serta kayu daripada bahagian rasuk di tingkat satu sebuah bangunan warisan di Lebuh Armenian.

Kedua-dua mangsa menerima rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dihantar ke HPP untuk rawatan lanjut.

Pemeriksaan awal mendapati rasuk kayu yang rosak akibat serangan anai-anai menjadi punca kejadian runtuhan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast