SHAH ALAM – Kerajaan Selangor membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2026 yang antara lain mencadangkan penubuhan Mahkamah Utama Syariah bagi memperkukuh sistem rayuan, meningkatkan akses kepada keadilan dan memodenkan pentadbiran kehakiman syariah di negeri itu.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Mohd Fahmi Ngah berkata, cadangan itu bertujuan memperkasakan sistem kehakiman syariah dengan menyediakan satu lagi ruang semakan terhadap keputusan mahkamah, memastikan keadilan dapat ditegakkan secara lebih menyeluruh.
Menurut beliau, Mahkamah Utama Syariah bukan diwujudkan untuk menambah birokrasi atau melambatkan proses perundangan sebaliknya hanya kes yang memenuhi syarat serta mempunyai merit akan dibawa ke peringkat berkenaan.
“Matlamat kehakiman syariah adalah menegakkan keadilan, menghapuskan kezaliman serta memberi ruang semakan terhadap sesuatu keputusan supaya setiap pihak memperoleh keadilan yang sewajarnya,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu pada Persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini.
Beliau berkata, keluasan negeri Selangor turut menjadi cabaran kepada sistem kehakiman syariah apabila terdapat keadaan hakim perlu bersidang di beberapa daerah dalam hari yang sama.
Justeru penggunaan teknologi termasuk prosiding secara jarak jauh akan membantu meningkatkan kecekapan operasi selain mempercepatkan penyelesaian kes.
Fahmi berkata, berdasarkan statistik dari 2013 hingga 2025, Mahkamah Rendah Syariah merekodkan sebanyak 286,687 kes dengan kadar penyelesaian 99.3 peratus bagi kes mal dan kira-kira 96 peratus bagi kes jenayah.
Dalam tempoh sama, Mahkamah Tinggi Syariah mengendalikan 46,852 kes dengan kadar penyelesaian 96 peratus bagi kes mal dan 93 peratus bagi kes jenayah, manakala Mahkamah Rayuan Syariah merekodkan 1,785 kes dengan kira-kira 95 peratus berjaya diselesaikan.
Beliau berkata, sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 5,899 kes aktif direkodkan membabitkan 3,907 kes di Mahkamah Rendah Syariah, 1,901 kes di Mahkamah Tinggi Syariah dan 91 kes di Mahkamah Rayuan Syariah.
Katanya, angka itu tidak seharusnya dianggap sebagai kes tertangguh kerana kebanyakannya masih dalam proses perbicaraan selain terdapat kes yang mengambil masa lebih panjang disebabkan pihak terlibat gagal hadir ke mahkamah atau tidak dapat dikesan.
“Perlu difahami juga bahawa satu kes asal seperti perceraian boleh menghasilkan beberapa tuntutan lain seperti nafkah, hak penjagaan anak dan harta sepencarian yang direkodkan sebagai kes berasingan.
“Oleh itu, jumlah kes yang direkodkan tidak semestinya mewakili satu fail yang sama,” ujarnya.
Mengulas transformasi digital, Fahmi berkata, sistem e-Filing telah dilaksanakan sejak 2023 bagi membolehkan pemfailan dokumen dibuat secara elektronik, sekali gus mengurangkan penggunaan dokumen fizikal dan mempercepatkan urusan pendaftaran kes.
Beliau berkata, konsep mahkamah digital pula mula diperkenalkan pada 2025 di Mahkamah Tinggi Syariah (Dewan 3) serta Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sepang selain membolehkan prosiding dijalankan secara jarak jauh mengikut arahan dan pertimbangan mahkamah.
Menurut Fahmi, RUU itu turut memperkenalkan jawatankuasa khas bagi menilai pelantikan hakim syarie berdasarkan merit sebelum nama calon dikemukakan kepada Sultan Selangor.
Katanya, jawatankuasa itu tidak mengambil alih prerogatif Sultan dalam pelantikan hakim sebaliknya berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang bagi memastikan proses pemilihan lebih telus, profesional dan bebas daripada sebarang pengaruh.
Beliau berkata, Mahkamah Utama Syariah yang dicadangkan itu akan dianggotai tidak melebihi tujuh hakim dengan sesuatu rayuan diputuskan oleh tiga hakim atau bilangan ganjil yang lebih besar sebagaimana ditentukan Ketua Hakim Syarie.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, kerajaan negeri bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan memperluaskan program literasi undang-undang syariah menerusi podcast dan webinar bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap pindaan enakmen berkenaan.
Beliau turut memaklumkan data lebih terperinci mengenai purata tempoh penyelesaian kes mengikut kategori akan dibekalkan secara bertulis selepas beberapa ahli dewan membangkitkan kebimbangan berhubung dakwaan terdapat kes yang mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.
Perbahasan sedang berlangsung ketika ini. – MalaysiaGazette
















