KUANTAN – Tindakan berani sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas C2 dikendali 18 kru dan tekong warga asing cuba membawa rokok seludup bernilai lebih RM17,000 masuk ke perairan daerah ini digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, vesel berkenaan dipintas oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Makmur dan Op Tiris pada kedudukan kira-kira 2 batu nautika barat daya Kuala Kuantan, di sini kira-kira jam 12 tengah hari Selasa lepas.
Ia selepas vesel itu dikesan dalam keadaan mencurigakan menuju ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh 18 kru, terdiri daripada seorang tekong dan dua kru warga Thailand serta 15 kru warga Kemboja, berusia antara 26 hingga 61 tahun.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 1,050 kotak rokok putih pelbagai jenama di atas vesel berkenaan yang disyaki tidak bercukai. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM17,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mazlan berkata, siasatan turut mendapati vesel berkenaan disyaki melakukan beberapa kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Kastam 1967 serta Akta Imigresen 1959/63, termasuk berkaitan dokumen yang disyaki meragukan.
Katamua, kesemua kru bersama vesel dan barang rampasan telah diiring ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Negeri Pahang untuk tindakan lanjut.
“Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan, risikan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan, perikanan haram serta sebarang pelanggaran undang-undang di perairan negara,” tegasnya.
Justeru, oang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Pahang di talian 09-571 7345 atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil. – MalaysiaGazette















