KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang menahan sebuah Vesel Nelayan Asing (VNA) Vietnam yang disyaki menceroboh perairan negara dan menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram di kedudukan kira-kira 102 batu nautika timur laut Pelabuhan Kuantan, Isnin lalu.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, vesel berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum berjaya dipintas dan ditahan kira-kira jam 2.40 pagi oleh kapal Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Makmur, Op Naga, Op Iman, Op Tiris dan Op Pelantar Merah.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh 18 kru warganegara Vietnam, termasuk seorang tekong, berusia antara 21 hingga 55 tahun.
“Vesel berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dan gagal melaporkan ketibaan di perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Vesel bersama kira-kira 1,000 kilogram hasil laut serta kesemua kru itu katanya telah diiring ke Jeti Zon Maritim Kemaman sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk vesel dan hasil tangkapan dianggarkan melebihi RM6 juta.
Sementara itu, Mazlan berkata, semasa operasi penggeledahan dijalankan, berlaku tindakan agresif daripada kru vesel yang menyebabkan pergelutan dengan pasukan penggeledah sebelum berjaya ditahan.
Tambahnya, kes turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki perairan negara tanpa kebenaran yang sah.
Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, tekong boleh dikenakan denda sehingga RM6 juta, manakala setiap kru boleh dikenakan denda sehingga RM600,000.
Beliau menegaskan bahawa Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan, risikan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras pencerobohan vesel asing serta aktiviti perikanan haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal selia (Illegal, Unreported and Unregulated Fishing – IUU Fishing) yang mengancam kelestarian sumber marin dan kedaulatan perairan negara.
Justeru, katanya rang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Pahang di talian 09-571 7345 atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil. – MalaysiaGazette















