KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka mengumumkan rombakan besar kepimpinan parti petang ini dengan beberapa jawatan utama bakal mengalami perubahan.
Sumber mendakwa, antara perubahan yang sedang dimuktamadkan ialah Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dijangka mengambil cuti sabatikal daripada tugas parti bagi memberi tumpuan kepada pengajian.
Perkembangan itu dijangka membuka ruang kepada pelantikan baharu bagi memangku jawatan Timbalan Presiden PKR.

Difahamkan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail disebut-sebut sebagai calon utama bagi mengisi jawatan berkenaan.
Bagaimanapun, sumber mendakwa, cadangan itu tidak mendapat sokongan majoriti anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang lebih cenderung melihat Naib Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menggalas tanggungjawab tersebut.
Menurut sumber, sekiranya Amirudin tidak dipilih, terdapat cadangan supaya PKR mewujudkan dua jawatan timbalan presiden bagi mengimbangi kehendak pelbagai pihak dalam parti.
Bagaimanapun, cadangan itu hanya boleh dilaksanakan sekiranya Perlembagaan PKR dipinda kerana ketika ini parti hanya memperuntuk satu jawatan Timbalan Presiden PKR.

Selain jawatan Timbalan Presiden PKR, sumber mendakwa jawatan Setiausaha Agung PKR turut dijangka mengalami perubahan.
Menurutnya, terdapat cadangan supaya jawatan itu diserahkan kepada seorang pemimpin muda dari utara sebagai sebahagian usaha menyuntik nafas baharu dalam barisan kepimpinan parti.
Bagaimanapun, sumber mendakwa, cadangan itu tidak mendapat sokongan majoriti anggota MPP.
Sebaliknya, kebanyakan anggota MPP lebih cenderung sama ada mengekalkan Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh atau memilih individu lain yang disifatkan lebih berkeupayaan berbanding calon dari utara yang sedang dipertimbangkan itu.
Sumber turut mendakwa rombakan kepimpinan itu merupakan antara formula yang sedang diperhalusi PKR bagi memperkukuh parti susulan prestasi yang tidak memihak kepada mereka dalam beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
Menurut sumber, penyusunan semula itu dilihat penting bagi memperkukuh kepimpinan parti selain menyusun strategi menjelang cabaran politik yang akan datang.
Setakat ini, kepimpinan PKR masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan rombakan berkenaan.
Pengumuman mengenai perkara itu dijangka dibuat selepas mesyuarat kepimpinan parti petang ini.
Sekiranya menjadi kenyataan, ia bakal memberi gambaran jelas mengenai hala tuju baharu kepimpinan PKR dalam memperkukuh jentera parti menghadapi cabaran politik akan datang. -MalaysiaGazette
















