Setiausaha Agung Parti Amanah Negara, Muhammad Faiz Fadzil.

KUALA LUMPUR – Amalan tahlil sama ada merupakan syariat Islam ataupun tidak bukan tiket untuk mana-mana individu mempermainkannya sebagai alat politik.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, ia juga tidak sepatutnya digunakan untuk menyindir mana-mana ahli politik terutama orang bukan Islam seolah-olah mereka juga mengamalkan amalan tahlil.

Menurut beliau, tindakan sebegitu boleh menyemarakkan lagi api perkauman kerana amalan orang Melayu tidak seharusnya dijadikan bahan ejekan atau sindiran ke atas orang bukan Melayu, apatah lagi ia berkaitan amalan dalam Islam.

Dakwanya, kenyataan Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Zuhir Wan Ghazali bahawa tahlil bukan sebahagian daripada syariat Islam boleh mengguris perasaan orang Melayu kerana tahlil adalah amalan orang Melayu sejak sekian lama.

“Walaupun tahlil menjadi perdebatan di kalangan ilmuan Islam, amalan tersebut dipenuhi dengan bacaan ayat al-Quran, selawat, zikir dan doa yang kandungannya tidak bertentangan dengan syara’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, DAP mendesak pemilik akaun Threads wan.zuhir dipercayai milik Wan Muhammad Zuhir memohon maaf secara terbuka dan menurunkan hantaran berhubung dakwaan kononnya diadakan ‘majlis bacaan tahlil atas pemakaman Loke di Chennah’.

Sementara itu, Muhammad Faiz turut menyifatkan adalah malang dalam suasana politik hari ini apabila gelombang penyatuan umat cuba memesong pemikiran orang Melayu kononnya Islam terancam, tetapi Pas membisu berkaitan kenyataan Exco Pemuda UMNO tersebut.

“Demi kuasa, Pas tidak lagi bersuara dalam isu Islam sepertimana isu cabutan khas judi dinaikkan daripada 8 kepada 22 ketika memerintah bersama Perikatan Nasional dahulu.

“Seharusnya, Exco Pemuda UMNO tersebut menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf di atas keterlanjuran kenyataan-kenyataan beliau berhubung amalan tahlil ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast