Aminul Izmeer menunjukkan barang rampasan selepas sidang akhbar di Pejabat JKDM Batu Pahat, Batu Pahat, hari ini.

BATU PAHAT – Empat penyeludup diberkas selain minuman keras dan rokok bernilai  RM700,000 dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam di Johor dan Negeri Sembilan dalam serbuan berasingan pada Jun lalu.

Pengarah JKDM Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, empat suspek berusia 20-an hingga 60-an itu ditahan menerusi empat operasi di Muar dan Bahau, Negeri Sembilan.

Beliau memberitahu, menerusi operasi dilakukan JKDM Batu Pahat itu sejumlah 895.67 liter arak serta 261,390 batang rokok tidak bercukai dirampas.

Aminul Izmeer menerangkan modus operandi dan menunjukkan barang rampasan selepas sidang akhbar di Pejabat JKDM Batu Pahat, Batu Pahat, hari ini.

“Tangkapan pertama dilakukan pada 11 Jun lalu apabila sepasukan anggota menyerbu sebuah rumah di Taman Bahagia di sini dan merampas 22,560 batang rokok serta 394.42 liter arak.

“Turut dirampas sebuah Toyota Vellfire yang digunakan dalam aktiviti haram itu,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JKDM Batu Pahat di sini hari ini.

Antara minuman keras yang dirampas pihak kastam dalam serbuan berasingan

Beliau berkata, tangkapan seterusnya pada 25 Jun lalu di Kampung Parit Kasim, di sini dan JKDM berjaya merampas 134,430 batang rokok serta 501.25 liter arak.

Barangan itu disembunyikan di bawah lantai rumah manakala serbuan seterusnya pada 6 Julai lalu, apabila anggota penguat kuasa menahan sebuah Proton X70 di Jalan Kim Kee, Muar.

Beberapa jenama minuman keras yang dirampas pihak kastam Batu Pahat

Menurut beliau, pihak JKDM merampas 39,600 batang rokok pelbagai jenama yang ditemukan di tempat duduk belakang dan but kenderaan dipercayai untuk diedarkan kepada orang ramai.

“Tangkapan keempat pula dilakukan di Bahau sekali gus membawa kepada rampasan 64,800 batang rokok tidak bercukai. Turut disita kereta Mercedes Benz CLA 200,” katanya.

Antara kenderaan mewah yang dirampas pihak kastam selepas melakukan serbuan

Aminul Izmeer berkata, modus operasi semua suspek adalah membawa masuk barangan seludup dan menjadikan kediaman atau kenderaan sebagai stor sementara sebelum diedarkan ke dalam pasaran.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Pihaknya meminta orang ramai membantu menyalurkan maklumat berhubung jenayah penyeludupan yang boleh mendatangkan ancaman keselamatan negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast