realiti nyanyian Kilauan Emas kembali dengan musim baharu menerusi Kilauan Emas Selebriti 2026 (KES2026) yang menampilkan 10 selebriti terdiri daripada pelakon veteran tempatan.

KUALA LUMPUR – Program realiti Astro, Kilauan Emas kembali kali ini dengan format lebih segar menerusi edisi terbaharunya, Kilauan Emas Selebriti yang menampilkan barisan selebriti otai terkenal di negara ini.

Berbeza daripada format sebelum ini, Kilauan Emas Selebriti 2026 menampilkan peserta terdiri daripada personaliti terkenal dan bukan penyanyi profesional.

Bagi memastikan keaslian konsep pertandingan, peserta yang layak mestilah memenuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan antaranya warganegara Malaysia berusia 50 tahun dan ke atas.

Mereka juga bukan penyanyi profesional atau individu yang pernah menerima latihan nyanyian secara professional serta tidak pernah menghasilkan atau menerbitkan album muzik. 

Menurut Norzeha Mohd Salleh, Ketua Saluran Melayu Astro, Kilauan Emas Selebriti lebih daripada sekadar sebuah pertandingan nyanyian, ia turut membawa misi kemasyarakatan menerusi konsep talent that gives back.

Katanya, setiap kemenangan mingguan akan disertakan dengan sumbangan amal kepada rakan-rakan artis veteran yang memerlukan sekali gus menjadikan program ini sebagai platform yang bukan sahaja meraikan bakat tetapi turut memberi impak positif kepada masyarakat.”

Selain itu, program ini turut membawakan segmen istimewa ‘Telan Kaset’ yang akan menampilkan kemunculan artis-artis legenda tanah air pada setiap minggu.

“Segmen khas ini direka bagi menghidupkan kembali nostalgia dalam kalangan penonton serta menyuntik nilai sentimental yang menjadi antara kekuatan utama Kilauan Emas sejak ia diperkenalkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Musim ini bakal menyaksikan 10 selebriti otai terdiri daripada barisan selebriti veteran terkenal yang akan berentap di pentas Kilauan Emas bagi mengumpul sumbangan dari hasil kemenangan, dalam misi untuk menyalurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan. 

Antara yang bakal berentap di pentas program berkenaan ialah Datuk Jalaluddin Hassan, Mubarak Majid, Fazlina Ahmad dan Katy Azean.

Turut bersaing ialah Rahim Omar, Maria Tengku Sabri, Zila Bakarin, Amyza Aznan dan Rashdan Baba.

Kilauan Emas Selebriti 2026 juga akan digegarkan dengan penampilan khas Raja Azura sebagai pengacara utama.

Dia  merupakan hos Kilauan Emas dari musim satu hingga ke musim kelima dan kini kembali semula untuk memeriahkan suasana.

Tidak berseorangan, Raja Azura juga akan digandingkan Bersama Keanu Azman sebagai rakan pengacara Kilauan Emas Selebriti kali ini.

Barisan juri pula menampilkan Jihan Muse sebagai juri tetap dan digandingkan bersama Datuk Yusry KRU, serta penampilan Istimewa juri jemputan setiap minggu. 

Kilauan Emas Selebriti 2026 akan bermula 22 Ogos, setiap Sabtu pukul 9 malam di Astro Prima (saluran 105) serta boleh distrim menerusi On Demand, Astro GO dan Sooka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast