KLUANG – Seorang pelajar kolej didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bayinya yang baru dilahirkan sebelum ditemui mati dalam mangkuk tandas, hujung bulan lalu.
Tertuduh, Nurshazwen Mohd Idris, 19, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan di sebuah rumah Taman Setia Mutiara di sini pukul 10 pagi pada 29 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta jika tidak dihukum mati, dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Aznan yang memaklumkan tiada tawaran jaminan diberikan memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan kimia.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh dilaporkan berkata, seorang pelajar lelaki berusia 19 tahun iaitu kekasih suspek yang sebelum ini direman berhubung kes berkenaan akan dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan.

Kelmarin, pelajar lelaki terbabit disambung reman selama sehari selepas sebelum itu direman tujuh hari bermula 30 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 315 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, pada 30 Julai lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, pihaknya menahan pasangan kekasih yang juga pelajar kolej, masing-masing berumur 19 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 1 tengah hari berhubung kes seorang pelajar dimasukkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini kerana melahirkan anak.
Katanya, sebelum dibawa ke HEBHK pelajar kolej berkenaan melahirkan anak di rumah sewa berkenaan yang merupakan hostel pelajar perempuan.
Ab Rahaman berkata, hasil siasatan lanjut di rumah sewa yang didiami pelajar terbabit itu membawa kepada penemuan mayat seorang bayi perempuan yang sudah meninggal dunia.
Menurutnya, pemeriksaan awal ke atas bayi itu mendapati terdapat beberapa kesan tikaman pada tubuh bayi berkenaan yang ditemui dalam mangkuk tandas.
Jelas Ab Rahaman, berdasarkan siasatan bayi itu dijumpai oleh tenaga pengajar kolej berkenaan dan hasil pemeriksaan lanjut di HEBHK mendapati terdapat seorang lagi bayi (kembar) dalam kandungan pelajar perempuan berkenaan yang kemudiannya selamat dilahirkan. – MalaysiaGazette
















