Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

SHAH ALAM – Selangor optimis pendapatan median isi rumah Selangor mampu meningkat kepada RM14,500 sebulan menjelang 2030 menerusi pelaksanaan Rancangan Selangor Kedua (RS-2).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, selain itu, RS-2 turut menetapkan sasaran menurunkan kadar pengangguran kepada 2.2 peratus serta mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.1 peratus.

Mengakui sasaran tersebut tidak mudah untuk dicapai namun Selangor menerusi rancangan berkenaan mampu memperkukuh tenaga kerja dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Amirudin berkata, antara cabaran utama yang perlu ditangani ialah isu ketidakpadanan antara kemahiran graduan dengan keperluan sebenar pasaran pekerjaan.

Justeru kerajaan negeri akan menubuhkan Majlis Kemahiran Pekerjaan Selangor bagi menghimpunkan industri, pihak akademia, penggubal dasar serta pekerja dalam merangka hala tuju kemahiran yang lebih adaptif.

“Kerangka latihan TVET negeri yang diterajui Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) akan dipertingkatkan dan diselaraskan menerusi cadangan Pemerbadanan TVET bagi memastikan sistem latihan berkualiti tinggi serta mengelakkan pertindihan penawaran,” katany ketika membentangkan RS-2 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Dalam masa sama, beliau berkata, Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) akan diperluaskan kepada 200,000 pelajar menjelang 2030 bagi meningkatkan prestasi akademik pelajar daripada pelbagai latar belakang.

Peranan universiti juga akan diperkasakan menerusi penubuhan Selangor University Network Council (SUNC), selain merealisasikan hasrat Universiti Selangor (UNISEL) untuk beralih sepenuhnya sebagai Universiti Industri.

Bagi sektor keusahawanan pula, Amirudin berkata, Program Latihan Asas Keusahawanan Selangor (PLATS) akan diposisikan sebagai program unggul negeri dengan sasaran 150,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima bimbingan, latihan, kemahiran digital serta strategi pengembangan perniagaan.

Beliau berkata, program bantuan usahawan seperti GROW dan DANA PLUS turut akan diperkasakan bagi memudahkan pembiayaan perniagaan serta akses pasaran PKS.

Sementara itu, misi RS-2 seterusnya akan memberi tumpuan kepada kelestarian alam sekitar dan ketahanan perubahan iklim dengan sasaran mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 35 peratus menjelang 2035 berbanding garis dasar 2005.

Selain itu, kerajaan negeri akan mengekalkan kawasan Tanah Hutan Simpan Diwartakan sekurang-kurangnya 31 peratus daripada keluasan negeri menjelang 2030.

Bagi menangani isu banjir, beliau berkata, Selangor Flood Mitigation Plan (SelFMiP) akan menjadi pelan induk mitigasi strategik dengan mengintegrasikan risiko iklim dalam perancangan pembangunan negeri.

Projek infrastruktur Waste-to-Energy (WTE) menerusi dua loji utama di Tanjung 12 dan Sultan Idris Shah Green Energy (SISGE) di Rawang akan dilaksanakan untuk memproses 2,400 tan sisa sehari serta menjana 58 megawatt elektrik.

“Program kitar semula dan ekonomi kitaran akan diperkukuhkan melalui SELKitar serta pembangunan Kemudahan Pemulihan Material (MRCF) di setiap daerah.

“Kerajaan negeri turut meneroka kebolehlaksanaan tenaga nuklear sebagai sebahagian usaha mempelbagaikan portfolio tenaga Selangor untuk jangka panjang,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast