Tren LRT3 Laluan Shah Alam membawa penumpang pada hari pertama operasi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stesen Glenmarie 2, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 29 Jun 2026.

SHAH ALAM – Kadar penggunaan pengangkutan awam di Selangor dijangka akan meningkat kepada 60 peratus menerusi pelaksanaan Rancangan Selangor Kedua (RS-2), berbanding kira-kira 40 peratus ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sasaran itu dianggarkan memerlukan sebanyak RM6.7 bilion sepanjang rancangan tersebut dilaksanakan.

Jelasnya, matlamat itu selari dengan usaha memperkukuh sistem mobiliti negeri termasuk memperluaskan jaringan pengangkutan awam serta mengurangkan kebergantungan rakyat terhadap kenderaan persendirian.

Menurut beliau, kewujudan jajaran Transit Aliran Ringan (LRT)3 hingga ke Klang perlu dimanfaatkan bagi mempercepatkan peralihan rakyat kepada pengangkutan awam.

“Enam daripada 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor kini telah dihubungkan dengan perkhidmatan LRT dan MRT iaitu Klang, Shah Alam, Subang Jaya, Petaling Jaya, Ampang Jaya dan Kajang.

“Peluang ini perlu direbut untuk mempercepatkan transisi daripada kebergantungan kenderaan peribadi kepada pengangkutan awam,” katanya ketika membentangkan RS-2 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menyesuaikan semula pelaksanaan projek ‘demand-responsive transit’ (DRT) menerusi Selangor Mobility supaya perkhidmatan itu akan dapat menghubungkan rakyat ke kawasan komersial.

Jelas Amirudin, kekerapan pengangkutan awam juga akan dipertingkatkan bagi membawa penumpang dari stesen bas ke stesen LRT dan MRT.

Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan negeri turut berhasrat mewujudkan persekitaran bandar yang lebih mesra pejalan kaki menerusi konsep ‘walkable cities’ melalui penyediaan laluan jalan kaki berbumbung sekurang-kurangnya 500 meter dari setiap stesen tren.

Tambahnya, selain itu, kerajaan negeri juga akan mewajibkan satu hentian bas di setiap kawasan Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan supaya pembeli rumah mampu milik mempunyai akses kepada pengangkutan awam.

Amirudin berkata, perancangan berkenaan akan disokong menerusi Pelan Induk Mobiliti Negeri Selangor yang merangkumi pelbagai aspek termasuk penggunaan teknologi untuk mengenal pasti kawasan trafik tinggi, lokasi tumpuan awam serta keperluan hentian bas di kawasan perumahan.

Beliau berkata, projek Jajaran Rel Selangor yang menghubungkan kawasan pesisir pantai barat Selangor ke Lembah Klang turut akan diteruskan sama ada menerusi pembinaan rel sepenuhnya atau gabungan sistem bas rapid transit (BRT) bagi meminimumkan kos pembangunan infrastruktur.

Sementara itu, katanya, kerajaan negeri turut meneruskan perancangan pembangunan Pelabuhan Ketiga Pulau Carey serta memperkasakan kemudahan sukan seperti Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA), sukan permotoran di Sepang dan Litar Rakyat Kuala Selangor sebagai pemangkin pertumbuhan negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast