SHAH ALAM – Rancangan Selangor Kedua (RS-2) menawarkan peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada rakyat Selangor, mengurangkan jurang pendapatan dan pembangunan antara daerah, meningkatkan keberkesanan pengangkutan awam serta memperkukuh kesejahteraan rakyat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, RS-2 yang berjumlah RM33.31 bilion itu dibentuk berasaskan enam misi yang merangkumi 25 bidang keutamaan dan 98 inisiatif pembangunan bagi tempoh 2026 hingga 2030.
“Ia sekali gus menjadi kompas rujukan semua agensi Persekutuan dan negeri termasuk jabatan, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat milik kerajaan negeri serta semua pemegang taruh di Selangor bagi menyempurnakan agenda pembangunan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan RS-2 di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Menurut beliau, Selangor optimis muncul sebagai negeri pertama di Malaysia dengan nilai ekonomi mencecah RM500 bilion, malah berpotensi mencapai RM600 bilion dalam tempoh pelaksanaan RS-2.
Bagaimanapun, katanya, sasaran berkenaan memerlukan perubahan pendekatan dan tidak boleh dilaksanakan secara ‘business as usual’.
Beliau berkata, perancangan itu perlu mengambil kira dua aspek utama iaitu masa depan industri khususnya syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta masa depan tenaga kerja di Selangor.
“Kerajaan negeri berpendirian bahawa fungsi kerajaan bukan sekadar pentadbir bagi industri dan perniagaan, tetapi memainkan peranan proaktif dalam merangka pertumbuhan sesebuah industri yang sudah rancak serta meneroka peluang dalam industri baharu.
“Sebagai negeri yang menyumbang 26.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai RM460.1 bilion, Selangor tidak boleh mengubah struktur ekonomi secara drastik,” katanya.
Amirudin berkata, Selangor tidak boleh beralih secara mendadak menjadi negeri berasaskan pertanian atau hanya bergantung kepada industri pembuatan teknologi konvensional.
Sebaliknya, kata beliau, keluasan tanah yang terhad memerlukan negeri itu merancang penggunaan tanah secara berhemah serta memaksimumkan pembangunan berteknologi tinggi supaya industri baharu tidak bergantung kepada kawasan yang luas.
“Regenerasi dan rejuvenasi harus menjadi asas kepada sebarang pembaharuan yang dijalankan,” katanya.
Terdahulu, Amirudin memaklumkan sebanyak 79 peratus inisiatif di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) berjaya dicapai dan berada dalam pelbagai fasa pelaksanaan.
Menurutnya, pasukan pelaksana RS-1 berjaya melepasi sembilan daripada 16 indikator yang ditetapkan kerajaan negeri.
Antaranya, kata beliau, pertumbuhan KDNK yang mencapai 7.5 peratus secara konsisten, melebihi sasaran awal antara 6.5 hingga 7.0 peratus setiap tahun. – MalaysiaGazette
















