Pengarah Sri Murugan Centre (SMC), Surain Kanda

KUALA LUMPUR – Sri Murugan Centre (SMC) menggesa kerajaan memastikan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua rakyat terus menjadi keutamaan negara secara berterusan tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.

Pengarahnya, Surain Kanda berkata, pendidikan merupakan pelaburan paling penting dalam membina masa depan negara dan setiap anak Malaysia berhak diberikan peluang yang adil untuk mengembangkan potensi mereka.

Menurut beliau, usaha memperkukuh sistem pendidikan perlu dilaksanakan secara konsisten kerana manfaatnya bukan sahaja dinikmati oleh individu, malah menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara yang lebih maju, inklusif dan berdaya saing.

“Saya tidak meminta banyak. Saya hanya meminta satu perkara iaitu berikan hak pendidikan yang sama kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

“Apabila kita menjaga pendidikan anak-anak negara ini, kita sebenarnya sedang membina masa depan Malaysia. Anak-anak terbaik akan muncul berdasarkan kemampuan mereka dan merekalah yang akan menjadi tunjang kepada pembangunan negara,” katanya.

Beliau berucap pada program Kalvi Rathirai, acara tahunan anjuran Sri Murugan Centre (SMC), yang diadakan baru-baru ini.

Surain berkata, peluang pendidikan saksama akan melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara, selain memupuk semangat patriotisme dan kesetiaan kepada Malaysia.

Katanya, setiap anak Malaysia perlu diberi peluang yang sama untuk berjaya tanpa dipengaruhi faktor kaum, agama mahupun kedudukan sosioekonomi.

“Apabila semua anak diberi peluang yang sama, negara akan memperoleh manfaat. Mereka akan membesar sebagai rakyat yang berilmu, berkemahiran dan bersedia menyumbang kepada pembangunan negara.

“Pendidikan bukan isu sesuatu kaum, tetapi hak setiap rakyat Malaysia dan pelaburan terbaik untuk masa depan negara,” ujarnya.

Beliau berkata, kejayaan sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada pembangunan ekonomi atau infrastruktur, sebaliknya turut ditentukan oleh kualiti sistem pendidikan yang mampu melahirkan generasi berpengetahuan, berkemahiran dan mempunyai nilai murni.

Menurutnya, pelaburan dalam pendidikan akan memberikan pulangan jangka panjang kepada negara kerana ia membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk meningkatkan taraf hidup, sekali gus menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pemimpin negara, termasuk Perdana Menteri, Menteri Pendidikan serta menteri dan pemimpin yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal masyarakat India supaya terus memberi perhatian terhadap keperluan pendidikan semua lapisan masyarakat.

Katanya, setiap dasar yang diperkenalkan perlu mengambil kira keperluan semua komuniti supaya tiada mana-mana kumpulan masyarakat yang tercicir daripada menikmati peluang pendidikan berkualiti.

“Apabila kita bercakap mengenai pendidikan, kita tidak sepatutnya melihatnya daripada sudut kaum atau agama. Apa yang penting ialah memastikan setiap anak Malaysia mempunyai peluang yang sama untuk belajar, berjaya dan menyumbang kepada negara.

“Apabila peluang itu diberikan secara adil, negara akan memperoleh manfaat kerana bakat terbaik dapat diketengahkan tanpa mengira latar belakang mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Surain berpandangan pendidikan tidak seharusnya hanya diberi penekanan apabila menjelang pilihan raya, sebaliknya perlu menjadi agenda nasional yang diberikan perhatian secara berterusan menerusi dasar dan pelaksanaan yang konsisten.

Beliau berkata, setiap kali musim pilihan raya, pelbagai komitmen dan janji kepada rakyat sering diketengahkan, namun usaha memperkasakan pendidikan perlu diterjemahkan melalui tindakan yang berterusan demi kepentingan generasi akan datang.

“Manfaat pendidikan bukan untuk tempoh lima tahun atau satu penggal pentadbiran semata-mata. Ia adalah pelaburan jangka panjang yang akan menentukan masa depan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau turut berharap semua pihak, termasuk kerajaan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat dan ibu bapa, dapat memainkan peranan masing-masing dalam memastikan tiada anak Malaysia tercicir daripada memperoleh pendidikan yang berkualiti.

Menurutnya, kerjasama semua pihak penting bagi membina sebuah sistem pendidikan yang lebih inklusif, sekali gus melahirkan generasi yang mampu bersaing di peringkat global tanpa mengabaikan nilai perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast