KUALA LUMPUR — Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berjaya memperkukuh budaya inovasi apabila menganjurkan Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Universiti Awam (UA) Kali Ke-18 yang menghimpunkan 434 peserta daripada 53 kumpulan inovasi seluruh UA.
Konvensyen dwitahunan selama tiga hari bermula 4 Ogos lalu itu melabuhkan tirainya hari ini menerusi Majlis Anugerah dan Penutupan yang berlangsung di Kampus UPNM, Kem Perdana Sungai Besi, malam tadi.
UPNM dalam kenyataan memaklumkan, majlis berkenaan disempurnakan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman dan dihadiri 776 tetamu.
Peserta-peserta bersaing dalam empat kategori utama yang memberi tumpuan kepada penciptaan serta penambahbaikan inovasi berimpak tinggi.
Empat kategori itu ialah Inovasi Penyampaian Perkhidmatan (Penciptaan), Inovasi Penyampaian Perkhidmatan (Penambahbaikan), Inovasi Sosial (Penciptaan) dan Inovasi Sosial (Penambahbaikan).
Sebanyak 22 anugerah dipertandingkan, termasuk dua Anugerah Terbaik Keseluruhan bagi kategori Inovasi Sosial dan Inovasi Penyampaian Perkhidmatan.
Selain itu, 20 anugerah turut diberikan bagi kategori inovasi khusus membabitkan piala, sijil penghargaan dan hadiah wang tunai.
Majlis turut menyaksikan acara simbolik Penyerahan Tuan Rumah Konvensyen KIK UA Ke-19 bagi tahun 2028 kepada Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Azhan Md Othman; Ahli-ahli Lembaga Pengarah UPNM; Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad serta pengurusan tertinggi UPNM.
Hadir sama Naib Canselor dan pengurusan tertinggi universiti awam seluruh Malaysia. – MalaysiaGazette
















