KUALA LUMPUR – Walaupun belum sepenggal mentadbir negara, pentadbiran Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meletakkan ekonomi Malaysia pada landasan tepat untuk menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia.
Pensyarah Kanan (Ekonomi), Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor, Nurul Ainun Ahmad Atory berkata, kecekapan pentadbiran, kestabilan politik dan sosial, peningkatan daya saing serta keyakinan berterusan kerajaan asing dan pelabur luar terhadap Malaysia perlu diteruskan pada penggal seterusnya.
Lantaran itu, menurut beliau, perdana menteri dan barisan Kabinet Kerajaan Madani sewajarnya diberikan peluang untuk terus mentadbir negara berbekalkan rekod pentadbiran yang semakin diyakini sektor perniagaan domestik dan antarabangsa.
“Dari aspek ekonomi, aspirasi untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok 30 ekonomi terbesar dunia bukan sesuatu yang mustahil sekiranya momentum pertumbuhan negara dapat dikekalkan secara konsisten.
“Hakikatnya, Malaysia bukan sahaja perlu berkembang, tetapi perlu berkembang dengan lebih pantas, produktif dan berdaya saing berbanding ekonomi pesaing.
“Dalam konteks ini, kestabilan politik, kejelasan dan kesinambungan dasar, tadbir urus yang baik serta keyakinan pelabur domestik dan asing merupakan antara asas penting kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nurul Ainun berkata, kekuatan Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka juga perlu terus dimanfaatkan menerusi hubungan ekonomi yang pragmatik dengan kuasa ekonomi utama dunia.
Katanya, keupayaan Malaysia mengekalkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Amerika Syarikat, China, India serta pasaran lain membolehkan negara mempelbagaikan sumber pelaburan dan pasaran eksport, selain memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global.
“Kekuatan pendekatan Ekonomi Madani ialah pertumbuhan tidak seharusnya dinilai daripada angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau kedudukan ekonomi dunia semata-mata.
“Pertumbuhan yang berkualiti perlu bersifat holistik dengan memastikan peningkatan pelaburan dan aktiviti ekonomi turut diterjemahkan kepada produktiviti lebih tinggi, penciptaan pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan, pengukuhan perusahaan tempatan dan akhirnya peningkatan taraf hidup rakyat,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, Malaysia perlu terus meningkatkan daya saing tanpa mengabaikan kecekapan penggunaan sumber, inovasi hijau, peralihan tenaga dan kelestarian jangka panjang.
Justeru, katanya, kesinambungan reformasi ekonomi, kestabilan pentadbiran dan keyakinan pelabur perlu terus dipertahankan bagi memastikan momentum yang sedang dibina dapat diteruskan.
Sebelum ini, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, Malaysia berpotensi menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia sekiranya pertumbuhan tahunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal negara mengatasi negara lain sekurang-kurangnya dua mata peratusan.
Malah Abdul Wahid berkata, Malaysia kini berada pada kedudukan ke-35, manakala Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menduduki tempat ke-30 mempunyai saiz ekonomi kira-kira 20 peratus lebih besar berbanding Malaysia. – MalaysiaGazette
















