Sheikh Umar Bagharib Ali.

KUALA LUMPUR – Sheikh Umar Bagharib Ali menyifatkan pendekatan politik Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai berbahaya kerana didakwa menggunakan agama sebagai alat politik termasuk dalam isu hubungan antara Pas dan UMNO.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP dan Naib Pengerusi DAP Johor itu berkata, pendirian Hadi yang sebelum ini mengkafirkan UMNO pada 1981, namun kini menyifatkan perbezaan antara kedua-dua parti sebagai perkara khilaf dan cabang, menunjukkan perubahan pendirian yang ketara.

Menurutnya, pendekatan tersebut pernah menyebabkan masyarakat berpecah sehingga berlaku keadaan seperti solat dengan dua imam, pasangan suami isteri memperbaharui lafaz nikah serta daging sembelihan orang UMNO dipersoalkan status halalnya.

“Untuk memahami pendekatan politik Hadi Awang ini, bagi saya mudah saja.

“Tahun 1981 dia sudah mengkafirkan UMNO. Rakyat berpecah, solat dua imam dan suami isteri sampai terpaksa memperbaharui lafaz nikah kerana yang sebelum itu dianggap tidak sah.

“Daging sembelihan orang UMNO tidak dimakan kerana dianggap tidak halal. Kafir-mengkafir melanda masyarakat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sheikh Umar berkata, keadaan itu berbeza dengan pendirian Hadi pada 27 Julai lalu apabila Presiden Pas berkenaan menyifatkan perbezaan antara UMNO dan Pas sebagai khilaf atau perkara cabang ketika membuka ruang kerjasama dengan parti berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut mempertahankan pendirian DAP dengan menegaskan parti itu menyokong Perlembagaan Persekutuan dan bergerak dalam kerangka undang-undang negara.

“DAP menyokong Perlembagaan Malaysia. DAP bergerak mengikut lunas Perlembagaan.

“Perlembagaan telah mendokong kedudukan Islam dengan jelas. Jika DAP menolak Islam, DAP pasti diharamkan kerana menolak apa yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

Sehubungan itu, Sheikh Umar mendakwa, kenyataan Hadi berhubung perbezaan politik antara Pas dan UMNO sebagai sebahagian daripada permainan politik.

Beliau turut menyifatkan Hadi sebagai seorang ‘penghukum agama’ dan bukannya pendakwah.

Sheikh Umar merujuk prinsip yang dikaitkan dengan tokoh Ikhwanul Muslimin, Hassan al-Hudaybi iaitu “nahnu du’at, la qudhah” yang membawa maksud “kita adalah pendakwah, bukan penghukum”.

“Cara politik Hadi Awang ini sangat berbahaya. Macam ambil kerja tuhan,” dakwanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast