KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara digesa menjelaskan sebab polis menangkap dan menahan dua podcaster, Brian Tan dan Shamsul Saad, termasuk perkara yang dianggap kontroversi dalam podcast mereka sehingga membawa kepada tindakan tersebut.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, orang ramai berhak mengetahui alasan sebenar penangkapan dan penahanan kedua-dua individu terbabit.
“Podcast bukan satu jenayah. Wacana politik tidak seharusnya dikawal oleh ketakutan terhadap tindakan balas.
“Ini tidak mencerminkan semangat ‘reformasi’ atau pembaharuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Rayer, perbincangan politik walaupun kontroversi, tidak selesa atau mengandungi pandangan yang disampaikan secara tegas, tidak seharusnya secara automatik dianggap sebagai satu kesalahan jenayah sehingga seseorang perlu ditangkap dan ditahan polis.
Sehubungan itu, Rayer mempersoalkan tindakan polis terhadap pendakwah kontroversi, Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang menurutnya masih bebas walaupun didakwa berulang kali membuat hantaran di Facebook yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum serta boleh memecah-belahkan masyarakat.
Beliau berkata, satu laporan polis baru-baru ini dibuat terhadap Ridhuan Tee oleh ahli PKR, Rozan Azen Mat Rasip, berhubung hantaran yang didakwa menyentuh sensitiviti serta memecah-belahkan masyarakat dari sudut kaum dan agama.
“Apakah tindakan yang telah diambil oleh pihak polis?” soalnya.
Rayer turut mendakwa, Ridhuan Tee baru-baru ini melabel penyokong Melayu Pakatan Harapan sebagai “barua”, manakala penyokong bukan Melayu Pakatan Harapan sebagai “kafir harbi”.
“Kenapa polis masih belum menangkap Ridhuan Tee? Mengapa beliau masih bebas dan diberikan kebebasan untuk terus menyebarkan kebencian menerusi Facebook?
“Mengapa polis lambat bertindak dan berapa banyak laporan polis perlu dibuat sebelum Ridhuan Tee ditangkap?” soalnya.
Dalam pada itu, Rayer turut meminta perkembangan siasatan polis terhadap laporan yang dibuatnya berhubung Ahli Parlimen Jempol, Shamsulkahar Deli.
Katanya, ketika kempen pilihan raya di Negeri Sembilan baru-baru ini, Shamsulkahar didakwa menuduh DAP bertanggungjawab terhadap imej babi yang disunting dan dipakaikan pakaian diraja.
Beliau mendakwa, Ahli Parlimen Jempol itu turut membuat tuduhan terhadap DAP berhubung isu membabitkan Sultan Selangor.
“Kenapa Ahli Parlimen Jempol daripada UMNO itu masih belum ditangkap sehingga kini walaupun ucapannya bersifat berniat jahat, melulu, berbahaya dan memecah-belahkan masyarakat mengikut kaum?” katanya.
Rayer menegaskan, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa tiada sesiapa mengatasi undang-undang dan setiap individu adalah sama di sisi undang-undang.
“Tindakan polis secara terpilih seperti ini mesti dihentikan serta-merta,” katanya. – MalaysiaGazette
















