KUALA LUMPUR – Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya (PASUM) telah melaksanakan Program AI-Integrated STEM Learning Module (AISLM): Pemerkasaan Literasi STEM Pelajar melalui Pembelajaran Berasaskan Penggunaan AI Beretika di Bilik Seminar, SMK Seri Titiwangsa.
Program di bawah Geran CAKNA UMCares itu melibatkan seramai 44 orang murid Tingkatan 3 dan 10 orang guru pengiring daripada 10 buah sekolah menengah di Parlimen Setiawangsa, di bawah Pejabat Pendidikan Daerah Keramat. Pelaksanaannya turut mendapat kerjasama SMK Seri Titiwangsa sebagai sekolah tuan rumah, PPD Keramat serta rakan industri, NETS Edutainment Transformation Services.
Program yang menggunakan slogan “Pembelajaran Pintar, Pemikiran Beretika” itu memperkenalkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) sebagai alat sokongan pembelajaran, bukan sebagai jalan pentas untuk mendapatkan jawapan.
AISLM dibangunkan berdasarkan pemerhatian pasukan penyelidik terhadap pengalaman pembelajaran pelajar di PASUM. Walaupun sebahagian pelajar mampu menyiapkan tutorial atau tugasan dengan baik, mereka masih sukar menerangkan kaedah atau langkahpenyelesaian sekiranya diminta memberikan penjelasan.
Situasi tersebut menjadi semakin relevan apabila pelajar mempunyai akses kepada pelbagai aplikasi AI yang mampu menghasilkan jawapan dalam tempoh singkat.
Walaupun teknologi ini boleh membantu pembelajaran, penggunaannya tanpa panduan boleh menyebabkan pelajar menerima maklumat tanpa menyemak ketepatan atau memahami konsep yang dipelajari.
Ketua Projek AISLM, Dr. Siti Fatimah Hassan berkata, program tersebut dirangka untuk membantu murid menggunakan teknologi dengan lebih bertanggungjawab.
“Melalui AISLM, kami mahu murid memahami bahawa AI bukan jalan pintas untuk mendapatkan jawapan. AI seharusnya membantu mereka mencari penyelesaian dengan menyemak maklumat, membandingkan kaedah serta membina kefahaman secara bertanggungjawab,” katanya.

Program dimulakan dengan aktiviti Spaghetti and Marshmallow Challenge, yang memerlukan murid membina menara paling tinggi dan stabil menggunakan bahan yang disediakan.
Aktiviti itu memberi peluang kepada murid untuk merancang strategi, membahagikan tugas, mengurus masa serta bekerjasama untuk menghasilkan menara
yang tertinggi.
Aktiviti utama program, Explorace AISLM, pula dilaksanakan melalui empat stesen yang merangkumi modul bertemakan Matematik dan Sains. Murid menyelesaikan tugasan secara berkumpulan melalui pengiraan, pemerhatian, eksperimen, perbincangan dan penggunaan
AI secara berpandu dengan bantuan fasilitator.
Melalui aktiviti ini, murid meneroka konsep melalui data, situasi kehidupan sebenar danpenyelesaian masalah. Di samping itu, ia juga menghubungkan pembelajaran dengan pemerhatian dan pengalaman dalam kehidupan seharian.
Murid-murid bukan sahaja diminta mendapatkan jawapan, tetapi turut perlu menerangkan proses yang digunakan.
Sepanjang aktiviti, mereka digalakkan menilai maklumat yang dijana oleh AI dengan bertanya sama ada jawapan tersebut munasabah, boleh disahkan dan selaras dengan pengiraan atau pemerhatian sendiri. Murid turut didedahkan kepada kepentingan melindungi data peribadi, mengakui penggunaan AI dan mengelakkan kebergantungan sepenuhnya kepada teknologi.
Seorang guru Reka Bentuk dan Teknologi dari SMK Seksyen 5 Wangsa Maju menyifatkan program itu sebagai pengalaman pembelajaran yang sesuai dengan keperluan peserta.
“Program ini menyediakan kandungan yang tersusun, mudah difahami dan relevan dengan keperluan peserta,” katanya menerusi borang maklum balas program.
Program itu turut merangkumi sesi Career Quest: Eksplorasi Prospek Kerjaya, yang memberi pendedahan kepada bidang kejuruteraan, sains data, kecerdasan buatan, sains kesihatan, penyelidikan, pendidikan STEM dan reka bentuk teknologi.
Murid yang menunjukkan minat, kerjasama, tanggungjawab dan potensi kepimpinan turut dikenal pasti untuk pencalonan sebagai Duta STEM. Inisiatif tersebut diharapkan dapat membantu meneruskan perkongsian ilmu dan aktiviti STEM di sekolah masing-masing selepas program selesai.
Siti Fatimah berharap AISLM dapat diperluas ke lebih banyak sekolah melalui penambahbaikan modul, pemantauan Duta STEM dan kerjasama berterusan antara universiti, sekolah, komuniti serta industri.
Beliau turut menaruh harapan agar program ini dapat membentuk murid yang bukan sahaja tahumenggunakan AI, tetapi mampu menilai maklumat, berfikir secara kritis dan menggunakan teknologi dengan ilmu, integriti serta tanggungjawab. – MalaysiaGazette
















