KUANTAN – Dilabel sebagai masyarakat yang sinonim dengan kehidupan di pedalaman tidak mematahkan semangat Muhammad Zuhair Kariman Zulkifli untuk membuktikan anak orang asli juga mampu berdiri sama tinggi dengan masyarakat lain menerusi pendidikan.
Zuhair, 25, berkata, kejayaannya menamatkan pengajian Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang pembangunan masyarakat orang ali bukan sekadar pencapaian peribadi, malah simbol perubahan buat komuniti orang asal.
“Saya rasa ini antara pencapaian terbesar dalam hidup saya. Lebih dua tahun saya berusaha dan akhirnya berjaya menamatkan pengajian.
“Alhamdulillah, saya sangat bangga dengan apa yang dicapai, kami juga juga boleh berjaya” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Sijil dan Diploma Kemahiran Malaysia 2026 YP Advanced Skills, di sini.
Dia yang berasal daripada suku Jahut itu menambah, masyarakat orang asli tidak seharusnya terus dikaitkan dengan persepsi lama yang hanya melihat mereka sebagai komuniti yang hidup di hutan atau kawasan pedalaman.
Disebabkan itu, pendidikan merupakan jalan terbaik untuk memecahkan stereotaip tersebut dan membolehkan masyarakat orang asli bersaing serta menyumbang kepada pembangunan negara.
“Bagi saya, ilmu adalah kunci. Kalau kita mahu mengubah nasib diri, keluarga dan masyarakat, kita mesti belajar.
“Kita perlu buktikan orang asli juga mampu berjaya dan berdiri setanding dengan tiga kaum utama di Malaysia. Ilmu mampu mengubah segala-galanya,” katanya kepada MalaysiaGazette
Muhammad Zuhair mengakui perjalanan menamatkan pengajian bukan mudah apabila terpaksa berdepan cabaran mengurus masa bagi menyiapkan tugasan dan memenuhi tuntutan akademik.
Namun, katanya, disiplin dan kesungguhan menjadi kekuatan sehingga berjaya menamatkan pengajian.
Zuhair kini berkhidmat sebagai penyelaras masyarakat orang asli di kampung halamannya di Temerloh dan menggunakan ilmu yang diperoleh untuk membimbing serta menyebarkan pengetahuan kepada masyarakat setempat.
Dia merupakan antara 25 graduan yang tamat belajar menerusi Program Perkhidmatan Masyarakat Orang Asli (PETAMA) di YP Advanced Skills.
Beliau berharap kejayaannya menjadi inspirasi kepada lebih ramai belia orang asli supaya berani melangkah keluar daripada zon selesa dan menjadikan pendidikan sebagai senjata untuk mengubah masa depan.
“Saya mahu anak-anak orang asli percaya kita juga mampu berjaya. Jangan takut untuk belajar kerana ilmu bukan sahaja mengubah kehidupan kita, malah mampu mengangkat seluruh masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette















