SHAH ALAM – Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di simpang empat Jalan Permatang Tengah, Kampung Api-Api Kuala Selangor, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajuddin berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 5.15 petang membabitkan sebuah kereta jenis Suzuki Swift dan motosikal Yamaha Lagenda.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu seorang wanita Melayu itu bergerak dari arah Assam Jawa menghala ke Klang yang kemudiannya dilanggar motosikal berkenaan.
“Apabila tiba di lokasi kejadian yang merupakan simpang empat, kereta berkenaan dilanggar motosikal yang datang dari arah sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal, seorang lelaki Melayu, dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk menerima rawatan dan kemudian disahkan meninggal dunia pada 8.20 malam.
“Mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala (severe traumatic brain injury) susulan kemalangan kenderaan bermotor,” katanya.
Azaharudin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya berhati-hati ketika memandu atau menunggang kenderaan serta sentiasa mematuhi peraturan jalan raya,” katanya. – MalaysiaGazette
















