Sidang media Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar.

SHAH ALAM — Usaha penyatuan ummah perlu menjadi keutamaan berbanding perebutan kerusi pilihan raya antara parti politik, khususnya melibatkan UMNO dan Pas di Selangor, kata Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar.

Beliau berkata, fokus utama ketika ini ialah mencari titik persamaan yang mampu mewujudkan kestabilan politik serta memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Soal hendak bertanding semua kerusi, separuh kerusi atau suku kerusi itu eloklah diketepikan.

“Kita perlu fokus kepada gelombang penyatuan ummah kerana inilah yang rakyat mahukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Selangor di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin.

Menurut Mohamed Sukri, sebarang keputusan berkaitan rundingan kerusi antara kedua-dua parti perlu diserahkan kepada pucuk pimpinan.

“Soal hendak bertanding semua kerusi atau sebahagian kerusi itu bergantung kepada keadaan masing-masing dan akhirnya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman kerjasama Pas dan UMNO di Selangor ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis dan Seri Setia membuktikan persefahaman politik mampu menghasilkan kejayaan.

“Dalam tempoh tersebut, kerjasama itu membuahkan hasil sehingga kita memenangi siri pilihan raya kecil berkenaan,” katanya.

Mengulas usaha penyatuan di Selangor, Mohamed Sukri melihat hubungan baik di antara pemimpin Pas dan UMNO di Selangor merupakan sebagai asas penting untuk meneruskan agenda tersebut.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa gelombang penyatuan ummah bukan digerakkan oleh parti politik semata-mata, sebaliknya lahir daripada suara rakyat pelbagai lapisan masyarakat.

Katanya, isu yang sering dibangkitkan rakyat bukan hanya berkaitan politik, tetapi turut melibatkan ekonomi dan kos sara hidup yang semakin membebankan.

“Yang menakutkan rakyat hari ini bukan gelombang hijau dan bukan juga gelombang penyatuan ummah, tetapi keadaan ekonomi negara serta kemampuan rakyat untuk terus bertahan dalam suasana ekonomi yang mencabar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pas perlu dilihat sebagai usaha memperkukuh kestabilan politik dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara.

Sementara itu, Mohd Imran berkata, strategi politik dan kerjasama pilihan raya tetap tertakluk kepada keputusan pucuk pimpinan UMNO.

Namun katanya, persamaan perjuangan dan prinsip yang dibawa Pas dan UMNO boleh dijadikan kekuatan untuk membawa gelombang penyatuan ummah sekali gus mencetuskan perubahan pada pilihan raya akan datang.

“Kalau dua kekuatan ini digunakan sebaik mungkin, kita boleh mencipta satu gelombang yang memberikan kestabilan, keyakinan dan seterusnya memanfaatkan pentadbiran negeri serta negara pada masa hadapan,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast