Polis Johor melakukan 12 serbuan di pusat hiburan seluruh Johor awal pagi tadi dan menahan 209 GRO warga asing dan 13 penjaga premis.

JOHOR BAHRU – Polis Johor memberkas seramai 209 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing dalam serbuan di 12 buah pusat hiburan di seluruh negeri hari ini.

Sepasukan anggota dari Kontinjen Ibu Pejabat Polis (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis (IPD) daerah terbabit menjalankan Ops Noda bermula dari pukul 2.15 pagi hingga 9 pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, tangkapan GRO melibatkan 93 wanita dari Vietnam; Thailand (87); Laos (11); Indonesia (7); Myanmar (6) dan lima wanita dari Filipina.

“Semua wanita berusia 19 hingga 40 tahun itu melakukan pelbagai kesalahan termasuk kesalahan imigresen,” katanya dalam satu kenyataan.

Seramai 209 GRO warga asing dari pelbagai negara diiberkas dalam Ops Noda.

Beliau berkata, turut ditahan 13 penjaga premis hiburan melibatkan 10 warga tempatan dan tiga warga asing berusia 20 hingga 53 tahun.

Kata Ab Rahaman, mereka disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98 kerana melanggar syarat lesen hiburan atau sekatan yang ditetapkan.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c), Seksyen 55B dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63, katanya.

Menurut Ab Rahaman, hasil semakan rekod lampau ke atas semua suspek mendapati tujuh daripadanya memiliki rekod lampau melibatkan jenayah dan narkotik.

Ops Noda dilakukan di 12 pusat hiburan.

Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan pula mendapati 44 suspek positif dadah, katanya.

Jelas AB Rahaman, 13 tangkapan ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah manakala 209 lagi ditahan bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi membantu siasatan lanjut.

Tambahnya, polis kontinjen Johor tidak akan berkompromi dan sentiasa komited menangani isu yang melibatkan keselamatan serta ketenteraman awam bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan rakyat di negeri ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast