Nga Kor Ming berucap pada Majlis Pelancaran Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026-2035 di KLGCC Convention Centre hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,647 projek perumahan sakit dan terbengkalai dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM153 bilion berjaya dipulihkan sejak Januari 2023 hingga 30 Jun lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kejayaan itu melibatkan 192,912 unit kediaman menerusi usaha Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST).

Menurut beliau, isu projek sakit dan terbengkalai terus menjadi antara perkara yang diberi perhatian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kerana kesannya kepada pembeli rumah.

“Kementerian akan terus memperkukuh agenda Reformasi Perumahan Madani bagi mencapai sasaran sifar projek terbengkalai menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026-2035 di KLGCC Convention Centre di sini hari ini.

Kor Ming berkata, usaha melindungi kepentingan pembeli turut diperkukuhkan menerusi beberapa inisiatif termasuk Housing Integrated Management System (HIMS), perjanjian jual beli elektronik (eSPA) dan platform TEDUH.

Selain itu, cadangan penggubalan Akta Pemajuan Harta Tanah (RPDA) juga merupakan sebahagian usaha kerajaan mewujudkan ekosistem perumahan yang lebih telus, cekap serta diyakini rakyat dan industri.

Menurutnya, sektor perumahan negara kini berada pada titik perubahan susulan peningkatan urbanisasi, kos pembangunan, perkembangan ekonomi digital, perubahan iklim serta pertambahan populasi masyarakat menua.

Katanya, cabaran yang dihadapi kerajaan bukan lagi semata-mata untuk menyediakan lebih banyak rumah kepada rakyat.

Sebaliknya, rumah yang dibina perlu benar-benar memenuhi keperluan penduduk, berada di lokasi sesuai, berkualiti dan mampu dibiayai selain mempunyai persekitaran yang selamat serta selesa.

Atas asas itu, katanya, DRN 2026-2035 membawa perubahan pendekatan dengan perumahan tidak lagi dilihat semata-mata sebagai komoditi pasaran tetapi sebagai hak asas serta platform kepada kehidupan yang bermaruah.

Kor Ming berkata, penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), analitik data raya, Building Information Modelling (BIM) dan Sistem Binaan Berindustri (IBS) juga akan terus digalakkan dalam sektor perumahan.

Katanya, penggunaan teknologi berkenaan bukan sahaja boleh meningkatkan kecekapan industri, malah membantu kerajaan membuat keputusan lebih tepat, mengurangkan pembaziran serta memastikan rumah dapat disiapkan dengan lebih cepat dan berkualiti.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, pelancaran DRN 2026-2035 bukan penamat kepada proses penggubalan dasar berkenaan, sebaliknya permulaan kepada pelaksanaannya dalam menentukan hala tuju sektor perumahan negara bagi tempoh 10 tahun akan datang.

“Dasar yang baik bukan diukur pada hari ia dilancarkan. Dasar yang baik diukur apabila rakyat mula merasai manfaatnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast