Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – Hampir 95,000 pembeli rumah, termasuk golongan B40, telah mendapat manfaat menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang membantu mereka memperoleh pembiayaan untuk memiliki kediaman pertama.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kemudahan itu merupakan antara inisiatif kerajaan bagi membantu golongan yang menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan.

Menurutnya, kerajaan menyediakan jaminan sehingga RM40 bilion menerusi SJKP dengan sasaran memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 100,000 pembeli rumah.

“Setakat hari ini, 95,000 orang termasuk B40 telah mendapat manfaat. Kita tidak kira sama ada B40 atau M40, asalkan mereka memenuhi syarat.

“Rumah itu tidak melebihi RM500,000, pemohon merupakan rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan ia adalah rumah pertama, mereka layak memohon jaminan kerajaan melalui SJKP,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026-2035 di KLGCC Convention Centre di sini hari ini.

Kor Ming berkata, jaminan kerajaan menerusi skim berkenaan dapat membantu mengurangkan risiko pembiayaan yang ditanggung institusi kewangan apabila mempertimbangkan permohonan pembeli yang layak.

Katanya, kemudahan itu penting terutama kepada mereka yang mempunyai pendapatan tetapi mungkin berdepan kesukaran mendapatkan pinjaman perumahan melalui kaedah pembiayaan biasa.

Ia termasuk golongan bekerja sendiri atau mereka yang tidak mempunyai penyata pendapatan tetap seperti pekerja dalam ekonomi gig.

Menurut Kor Ming, perubahan corak pekerjaan rakyat ketika ini memerlukan kaedah pembiayaan perumahan yang lebih fleksibel dan tidak hanya bergantung kepada model konvensional.

Justeru, kerajaan mahu memastikan golongan berkenaan turut mempunyai peluang memiliki rumah sekiranya memenuhi syarat ditetapkan.

Selain SJKP, kerajaan turut melihat kepada pilihan pembiayaan lain termasuk Skim Sewa untuk Milik (RTO), Pemilikan Bersama dan Pembiayaan Perumahan Kadar Tetap bagi memperluaskan akses kepada pemilikan kediaman.

Kor Ming berkata, pendekatan itu penting kerana masalah pemilikan rumah bukan hanya berkaitan harga hartanah tetapi turut melibatkan kemampuan seseorang mendapatkan pembiayaan.

Katanya, kerajaan perlu menyediakan pilihan yang lebih luas bagi memenuhi perubahan corak pendapatan dan keperluan rakyat, khususnya mereka yang mahu memiliki rumah pertama.

SJKP merupakan antara instrumen yang diberi penekanan di bawah DRN 2026-2035 bagi meningkatkan kebolehcapaian pembiayaan perumahan kepada rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast