JAKARTA – Kebakaran hutan di sekitar Gunung Bromo, Jawa Timur, Indonesia sudah memasuki hari kelapan hari ini, dengan pihak berkuasa terus bertungkus-lumus memadam kebakaran yang kembali marak, manakala kira-kira 520 hektar (1,285 ekar) kawasan telah terbakar.
Menurut Jakarta Globe, kebakaran terbaharu dilaporkan berlaku di Puncak 30, daerah Sumber, Kabupaten Probolinggo, yang terletak dalam kawasan Taman Negara Bromo Tengger Semeru.
Ketua Agensi Pengurusan Bencana Probolinggo, Oemar Sjarief berkata, titik panas yang sebelum ini kecil membesar dengan ketara pada pagi Isnin, menyebabkan hutan dan tumbuh-tumbuhan di sekitarnya terbakar.
Pasukan pemadam kebakaran menjalankan operasi dari darat dan udara bagi membendung kebakaran serta menghalangnya daripada merebak.
Tiga helikopter dikerahkan untuk operasi pengeboman air, khususnya di kawasan yang sukar dicapai pasukan darat berikutan bentuk muka bumi yang berbukit dan mencabar.
Selain itu, anggota bomba turut menggunakan lori tangki air dan dron penyembur air.
Pihak berkuasa berkata, kebakaran masih berlaku di dua lokasi utama pada Isnin, iaitu Puncak 30 di Probolinggo dan Dengklek di Kabupaten Pasuruan.
Menteri Perhutanan, Raja Juli Antoni berkata, operasi pengeboman air akan diteruskan sehingga kebakaran dipadamkan sepenuhnya, dengan sebuah helikopter mampu melakukan sehingga 30 penerbangan menjatuhkan air sehari sekiranya keadaan cuaca mengizinkan.
Pasukan pemadam kebakaran turut memantau kawasan yang masih berbara bagi mengelakkan api kembali merebak. – Agensi
















