KUALA LUMPUR – Seorang pekerja kontrak maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam tangki penyimpanan air sedalam 10 meter ketika melakukan kerja penyelenggaraan di Kuala Langat Power Plant, dekat Banting, malam tadi.
Mangsa, Mohd Farhan Syazwan, 34, ditemukan kira-kira pukul 4 pagi selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.
Penolong Pengarah Operasi Negeri JBPM Selangor, Ashrul Riezal Ashbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.26 petang.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting bersama Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP KLIA dan BBP Pelabuhan Klang kemudian digerakkan ke lokasi.
“Komander operasi memaklumkan mangsa bersama rakan sekerjanya ketika itu sedang melakukan kerja penyelenggaraan bagi menggantikan kayu di bahagian menara penyejuk (coolant tower).
‘Rakan mangsa kemudian keluar dari lokasi untuk mengambil kayu dan kembali kira-kira 15 minit kemudian sebelum mendapati mangsa sudah tiada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ashrul Riezal, rakan mangsa pada awalnya menyangka lelaki itu mungkin pergi ke tandas, namun mula mengesyaki sesuatu berlaku selepas mangsa tidak muncul sebelum perkara itu dimaklumkan kepada penyelia.
“Pemeriksaan kemudian dilakukan dan mendapati mangsa hilang.
“Pasukan penyelamat terlebih dahulu mengosongkan kolam pertama, namun mangsa tidak ditemukan.
“Operasi kemudian diteruskan dengan mengosongkan kolam kedua yang mempunyai kedalaman 10 meter sebelum mangsa ditemukan kira-kira pukul 4 pagi,” katanya.
Beliau berkata, anggota penyelamat kemudiannya turun ke dalam kolam berkenaan sebelum membawa mangsa ke permukaan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada pukul 5.05 pagi,” katanya. – MalaysiaGazette
















