Ahmad Faris Ahmad Fuad menunjukkan robot autonomi yang mampu mengesan dan mengutip buah lerai kelapa sawit secara automatik.

 

KUALA LUMPUR – Pelajar tahun akhir Bacelor Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Ahmad Faris Ahmad Fuad membangunkan robot autonomi yang mampu mengesan dan mengutip buah lerai kelapa sawit secara automatik bagi membantu meningkatkan kecekapan operasi ladang serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh.

Penyelidikan itu memanfaatkan teknologi sistem penglihatan komputer yang diintegrasikan pada platform robot mudah alih bagi membolehkan robot mengenal pasti kedudukan buah lerai sebelum melaksanakan proses kutipan secara autonomi.

Beliau berkata, inovasi tersebut dibangunkan bagi menangani cabaran utama industri sawit, iaitu proses pengutipan buah lerai yang masih banyak dilakukan secara manual dan memerlukan tenaga kerja yang ramai.

“Buah lerai ialah buah sawit yang gugur daripada tandan semasa proses penuaian. Walaupun kecil, buah ini mempunyai kandungan minyak yang tinggi dan perlu dikutip kerana jika dibiarkan, ia akan menyebabkan kehilangan hasil serta kerugian kepada industri.

“Proses mengutip buah lerai secara manual memerlukan pekerja mengutip setiap biji yang gugur di atas tanah, sekali gus menjadikan kerja itu mengambil masa dan memerlukan tenaga buruh yang tinggi.

Ahmad Faris menambah, walaupun terdapat mesin kutipan bermotor di pasaran, penggunaannya masih memerlukan operator untuk mengendalikannya.

“Melalui penyelidikan ini, saya membangunkan sistem penglihatan komputer yang membolehkan robot mengesan buah lerai secara automatik.

“Platform robot telah tersedia di makmal dan saya mengintegrasikan teknologi tersebut supaya robot dapat melaksanakan tugas kutipan tanpa bergantung sepenuhnya kepada manusia,” ujarnya.

Beliau berkata, pembangunan teknologi automasi seperti itu dilihat mampu membantu industri sawit menghadapi isu kekurangan tenaga buruh selain meningkatkan produktiviti dan kecekapan pengurusan ladang.

Menurut beliau, pemilihan sektor sawit sebagai fokus penyelidikan dibuat kerana industri tersebut merupakan antara penyumbang penting kepada ekonomi negara.

“Saya melihat industri sawit mempunyai impak yang besar kepada Malaysia. Sebagai pelajar Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem, saya mahu membangunkan teknologi yang dapat membantu memodenkan sektor ini serta memberi manfaat kepada industri pada masa hadapan,” katanya.

Tambahnya, teknologi robot autonomi itu dapat diperhalusi sehingga berpotensi digunakan di ladang sawit bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual dan menyokong pelaksanaan pertanian pintar.

Dalam pada itu, beliau percaya penerapan teknologi automasi dan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pertanian mampu mengubah persepsi masyarakat bahawa bidang pertanian hanya tertumpu kepada kerja fizikal.

“Bidang Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem sebenarnya sangat luas. Selain mekanisasi dan automasi, pelajar juga mempelajari AI, sistem maklumat geografi (GIS), pengurusan tanah dan air, teknologi lepas tuai serta pelbagai aplikasi kejuruteraan lain yang menyokong pembangunan pertanian moden,” katanya.

Anak kelahiran Gurun, Kedah itu turut berharap lebih ramai anak muda melihat sektor pertanian sebagai bidang berteknologi tinggi yang menawarkan peluang besar untuk menghasilkan inovasi dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast