KUALA LUMPUR – Menawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan serta khidmat pengiring menerusi media sosial sebelum membawa mangsa ke rumah sewa dan mengurung mereka menjadi modus operandi sindiket penculikan.
Modus operandi itu dikesan dan berjaya ditumpaskan polis di Pulau Pinang dan Kedah pada Jumaat lalu.
Sindiket terbabit dipercayai menyasarkan warga asing dengan mencari mangsa melalui media sosial sebelum salah seorang anggota kumpulan itu menyambut mangsa sebaik tiba di Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah rumah sebelum dipercayai dipindahkan dari satu lokasi ke lokasi lain bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
Menurutnya, dalam operasi terbaharu pada 7 Ogos lalu, polis berjaya menyelamatkan dua mangsa wanita yang diculik dan dikurung selain menahan enam suspek termasuk seorang warga tempatan dan lima warga China.
“Kes terbongkar selepas seorang wanita warga Singapura berusia 73 tahun membuat laporan polis pada 6 Ogos lalu berhubung kehilangan adiknya, juga warga Singapura berusia 72 tahun.
“Mangsa dilaporkan tiba di Bayan Lepas dari Singapura pada 26 Julai lalu sebelum keluarga terputus hubungan dengannya dan hanya menerima pesanan ringkas,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Kumar berkata, pada 4 Ogos lalu, pengadu menerima pesanan suara yang memaklumkan mangsa telah diculik dan dikurung selain meminta wang tebusan sebanyak AS$1 juta (dolar Singapura) sebagai syarat pembebasan.
Keluarga mangsa turut menerima video yang menunjukkan mangsa dalam keadaan tangan bergari dan mata ditutup selain terdapat kesan kecederaan fizikal.
Susulan itu, kata Kumar, satu pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) membabitkan pegawai dan anggota D8 serta D9 ditubuhkan bagi menjalankan siasatan.
Hasil risikan membawa kepada serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di kawasan Telaga Bata, Alor Setar, Kedah kira-kira pukul 8.40 malam, 7 Ogos lalu.
“Ketika serbuan, polis berdepan tembakan yang dilepaskan suspek sebelum pasukan keselamatan membalas tembakan. Dalam kejadian itu, dua suspek lelaki yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri maut ditembak.
“Pemeriksaan di dalam rumah berkenaan kemudian menemukan mangsa warga Singapura berusia 72 tahun dalam sebuah bilik dalam keadaan tangan bergari dan mata ditutup,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya turut menemukan seorang lagi mangsa wanita warga China dalam bilik berasingan yang juga dalam keadaan tangan bergari dan mata ditutup.
“Serbuan susulan kira-kira 500 meter dari lokasi berkenaan membawa kepada penahanan enam suspek terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita.
“Daripada jumlah itu, seorang adalah warga tempatan manakala lima lagi warga China. Polis turut merampas dua pucuk pistol bersama peluru dalam pemeriksaan di rumah berkenaan,” ujarnya.
Tambah beliau siasatan mendapati, keluarga mangsa warga Singapura telah membuat tiga pembayaran berjumlah kira-kira AS$15,000 kepada pihak sindiket.
Wang berkenaan dipercayai dimasukkan ke dalam akaun milik mangsa yang telah dikawal oleh suspek.
Bagi mangsa warga China pula, Kumar berkata, sindiket dipercayai meminta wang sebanyak AS$20,000 daripada keluarganya, namun setakat ini tiada pembayaran dibuat.
Menurut beliau, seorang suspek warga tempatan yang ditahan didapati negatif ujian air kencing dan tidak mempunyai rekod jenayah.
Sementara itu, empat lelaki warga China didapati positif dadah manakala seorang wanita warga China didapati negatif.
Kesemua suspek yang ditahan direman sehingga 14 Ogos ini bagi membantu siasatan.
Kumar berkata, sindiket terbabit dipercayai turut mempunyai kaitan dengan dua lagi kes penculikan di Kuala Lumpur yang membabitkan dua mangsa.
Dalam satu daripada kes berkenaan, seorang mangsa warga China berjaya melarikan diri sebelum membuat laporan polis manakala seorang lagi berjaya diselamatkan polis.
Siasatan awal mendapati mangsa warga Singapura yang diselamatkan merupakan pesara di Singapura dan ditawarkan pekerjaan sebagai konsultan di Malaysia dengan tawaran gaji lumayan.
Mangsa warga China pula baru tiba di Malaysia pada 5 Ogos lalu dan berjaya diselamatkan dua hari kemudian.
“Polis tidak menolak kemungkinan terdapat mangsa lain yang terlibat namun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan kegiatan kumpulan berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961, Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta peruntukan berkaitan senjata api.
Kumar turut memaklumkan, kejayaan operasi itu hasil kerjasama dengan rakan sejawat dari Singapura termasuk perkongsian maklumat daripada Singapore Police Force.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai individu tidak dikenali yang menghubungi mereka menerusi media sosial, khususnya tawaran pekerjaan atau perkhidmatan yang menjanjikan pulangan lumayan.
Beliau turut memberi amaran bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan jenayah penculikan termasuk jika mangsa yang disasarkan adalah warga asing. – MalaysiaGazette
















