JOHOR BAHRU – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah premis di Kampung Sinaran Baru, Kempas di sini yang didakwa melakukan kegiatan pembakaran terbuka hingga mengakibatkan pencemaran.
Pengarah SWCorp Negeri Johor, Zainal Fitri Ahmad berkata, susulan itu, pihaknya membuka kertas siasatan berhubung kegagalan penyewa tanah di premis barang lusuh di Jalan Kempas Lama-Seelong itu kerana gagal mematuhi notis pengalihan sisa pepejal terkawal di situ.
“Kertas siasatan dibuka hari ini selepas pihak kami menjalankan pemeriksaan serta mengambil semua bahan bukti berkaitan kes berkenaan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pendakwaan.
“Notis pengalihan di bawah Seksyen 75 Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) sudah diserahkan kepada penyewa tanah pada 18 Mei lalu.
“Pihak SWCorp memberikan tempoh dua minggu kepada penyewa tanah untuk melaksanakan kerja pembersihan di kawasan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil lawatan kedua yang dijalankan pada 4 Jun lalu mendapati penyewa tanah sudah melaksanakan kerja pembersihan, namun masih memohon tambahan masa bagi membersihkan keseluruhan tapak.

“Bagaimanapun, pemantauan pada 3 Ogos lalu mendapati kawasan berkenaan masih belum dibersihkan sepenuhnya.
“Susulan itu, pihak SWCorp memberikan amaran tegas kepada penyewa tanah supaya kerja pembersihan dilaksanakan dengan segera,” katanya.
Zainal Fitri berkata, kegagalan mematuhi notis berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 75 Akta 672.
Menurutnya, Seksyen 75 memperuntuk kesalahan gagal mematuhi notis untuk menghantar sisa pepejal terkawal dalam milikannya ke tapak pelupusan.
Jelasnya, bagi kesalahan pertama, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Justeru, kertas siasatan dibuka bagi membolehkan pihak SWCorp menjalankan siasatan lanjut dan menentukan tindakan susulan yang sewajarnya,” katanya.
Semalam portal ini mendedahkan kira-kira 10,000 penduduk daripada empat kampung di Kempas berdepan ancaman pencemaran bau busuk dan letupan paip gas bawah tanah.
Penduduk mendakwa, ini berikutan pengoperasian tapak pembakaran berkenaan yang terketak hanya 12 meter dari saluran paip gas berkenaan. – MalaysiaGazette
















