SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor sedang mengkaji pembinaan loji rawatan air alternatif di Pulau Indah di Klang termasuk meneroka teknologi penyahgaraman air laut bagi menghadapi peningkatan permintaan bekalan air sehingga 9,653 juta liter sehari (JLH) menjelang 2045.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim, berkata, kapasiti pengeluaran air terawat semasa oleh Air Selangor adalah sebanyak 5,450 JLH namun permintaan dijangka meningkat secara ketara dalam tempoh hampir dua dekad akan datang.
Beliau berkata, perkembangan itu menyebabkan kerajaan negeri perlu meneliti sumber bekalan air alternatif bagi memastikan bekalan air Selangor kekal mampan dan lestari dalam jangka panjang.
“Sebagai langkah permulaan, satu kajian kebolehlaksanaan sedang dijalankan untuk membangunkan satu loji rawatan air alternatif di Pulau Indah bagi memenuhi permintaan pembangunan serta mengurangkan kebergantungan kepada loji rawatan air sedia ada.
“Sumber alternatif yang akan dikaji termasuk sumber air penyahgaraman, air pulih guna, air bawah tanah dan lain-lain,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Mu’izzuddeen Mahyuddin (PN-Hulu Bernam) mengenai status kajian kebolehlaksanaan pembinaan loji penyahgaraman air laut bagi menjamin sumber air alternatif jangka panjang untuk Selangor.
Izham juga berkata, Central Spectrum (M) Sdn. Bhd. dengan kerjasama Air Selangor sudah melantik perunding bagi melaksanakan kajian kebolehlaksanaan berkenaan dan ia dijangka mengambil masa enam bulan dan dijadualkan siap pada Disember 2026.
“Dapatan kajian akan menilai aspek teknikal, ekonomi, alam sekitar serta kebolehlaksanaan keseluruhan projek sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat,” katanya.
Mengulas kos projek, Izham berkata, jumlah keseluruhan termasuk kos bagi fasa rintisan masih belum dapat ditentukan pada ketika ini.
Katanya, kos berkenaan bergantung kepada dapatan dan syor yang dikemukakan menerusi kajian kebolehlaksanaan tersebut.
“Buat masa ini, kos keseluruhan projek masih belum dapat ditentukan kerana ia bergantung kepada dapatan dan syor daripada Kajian Kebolehlaksanaan yang sedang dijalankan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa lokasi berpotensi telah dikenal pasti di kawasan persisiran pantai bahagian timur Pulau Indah sebagai tapak yang sesuai untuk pembangunan loji berkenaan.
Bagaimanapun lokasi muktamad hanya akan ditentukan selepas kajian kebolehlaksanaan selesai.
“Penentuan lokasi muktamad akan dibuat berdasarkan hasil kajian yang dijangka siap pada Disember 2026,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















