Sebahagian warga asing yang ditahan JIM Pulau Pinang dalam serbuan di sebuah flat di Perai di sini.

SEBERANG PERAI – Aduan penduduk mengenai kehadiran warga asing yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran membawa kepada serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang di sebuah flat di Perai, di sini, malam tadi.

Operasi Penguatkuasaan Bersepadu itu menyaksikan kira-kira 10 rumah yang dikenal pasti didiami warga asing diperiksa anggota penguat kuasa, dengan hampir separuh terpaksa dipecahkan pintunya selepas penghuni enggan membuka pintu.

Tinjauan media yang mengikuti operasi berkenaan mendapati ada penghuni bertindak menutup lampu dan kipas sebelum bersembunyi di dalam bilik sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

Malah, ada yang terus mendiamkan diri walaupun pintu rumah diketuk beberapa kali, seolah-olah cuba memberi gambaran rumah berkenaan tidak berpenghuni.

Bagaimanapun, selepas pihak berkuasa memecah pintu, rata-rata warga asing terbabit memberi alasan mereka menyangka ada individu mahu merompak rumah, menyebabkan mereka memilih untuk tidak membuka pintu.

Pemeriksaan di beberapa unit mendapati kebanyakan warga asing tidak mempunyai pasport atau pas perjalanan yang sah, manakala terdapat yang dipercayai melakukan kesalahan tinggal lebih masa.

Selain itu, seorang wanita warga Indonesia ditemukan bersama seorang lelaki tempatan di dalam sebuah bilik di unit kediaman yang diserbu pihak imigresen.

Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan kondom yang telah digunakan di dalam bilik berkenaan, menyebabkan wanita itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Operasi di flat berkenaan adalah sebahagian daripada Operasi Penguatkuasaan Bersepadu JIM Pulau Pinang yang dijalankan di 20 lokasi.

Sementara itu, JIM Pulau Pinang dalam kenyataan memaklumkan, operasi penguatkuasaan bersepadu itu menyasarkan kawasan penempatan yang dikenal pasti mempunyai kehadiran warga asing yang tinggi.

Menurut kenyataan itu, seramai 71 individu diperiksa dalam operasi yang dijalankan di 20 lokasi bermula 10 Ogos lalu, dengan 24 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Katanya, kesemua yang ditahan berusia antara 19 hingga 49 tahun, terdiri daripada 18 lelaki dan enam perempuan, membabitkan warga Myanmar (10), Indonesia (9), Pakistan (3) dan India (2).

Antara kesalahan dikenal pasti termasuk tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa dan memegang kad yang tidak diiktiraf.

“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Jawi untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya hari ini.

Tambah kenyataan itu, empat Borang 29 (Saman kepada Saksi) turut dikeluarkan kepada warganegara Malaysia bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast