Muhammad Al- Afiq Danial bersama bapanya ketika Majlis Konvokesyen Sijil dan Diploma Kemahiran Malaysia 2026 YP Advanced Skills baru-baru ini.

KUANTAN – Siapa sangka seorang lepasan tahfiz yang hampir melupakan impian menyambung pelajaran kerana kekangan kewangan, akhirnya berjaya membina kerjaya sebagai jurukimpal hasil peluang yang diberikan melalui program latihan kemahiran.

Selepas menamatkan pengajian di tahfiz, Muhammad Al- Afiq Danial Mazlan menyimpan hasrat untuk meneruskan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi membina masa depan yang lebih baik.

Namun, impian itu hampir terhenti apabila yuran pendaftaran yang tinggi berada di luar kemampuan keluarganya sehingga mendapat peluang melanjutkan pengajian untuk masa depan.

Pernah putus harapan, namun, kakaknya tampil membantu mencari jalan keluar sebelum menemui program latihan di YP Advanced Skills yang menawarkan peluang kepada belia tanpa membebankan mereka dengan kos permulaan yang tinggi.

Katanya, peluang itu menjadi titik perubahan terbesar dalam hidupnya dengan mengambil peluang menlanjutkan pengajian secara percuma.

“Saya memang berniat untuk sambung belajar dalam bidang kemahiran. Tetapi bila lihat kosnya, saya rasa impian itu mungkin terpaksa saya lupakan.

“Daripada belajar di tahfiz, saya beralih ke bidang kemahiran. Pada mulanya memang rasa asing kerana ia dunia yang berbeza, tetapi saya percaya setiap ilmu ada nilainya dan boleh menjadi bekalan untuk masa depan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sepanjang setahun mengikuti latihan, Muhammad Al- Afiq Danial mempelajari teori, menjalani latihan praktikal serta dibimbing sehingga berjaya ditempatkan bekerja sebaik sahaja tamat program.

Berkat kesungguhan dan kesabaran, dia mencari rezeki sebagai jurukimpal di sebuah syarikat di Kuantan.

Walaupun pendapatannya bergantung kepada jumlah projek yang diterima, dia bersyukur kerana memiliki kemahiran yang membolehkannya berdikari dan membantu keluarganya.

“Dulu saya risau tidak tahu hendak ke mana selepas tamat belajar. Hari ini saya ada pekerjaan, ada pendapatan dan dapat meringankan beban keluarga. Itu sudah cukup besar maknanya bagi saya.

“Alhamdulillah kini walaupun bekerja dengan orang kita dapat pengalaman, dan sangat bersyukur ada pendapatan sendiri,” katanya.

Muhammad Al- Afiq Danial berharap lebih ramai lepasan tahfiz dan anak muda daripada keluarga kurang berkemampuan berani meneroka bidang kemahiran kerana kejayaan tidak hanya terletak pada satu laluan pendidikan.

“Ilmu agama membentuk diri saya, manakala ilmu kemahiran membuka pintu rezeki saya. Kedua-duanya sangat penting dan Allah SWT mudahkan jalan.

“Jangan takut mencuba sesuatu yang baharu kerana mungkin di situlah Allah SWT membuka jalan untuk mengubah hidup kita,” katanya.

Ujarnya, laluan daripada tahfiz ke dunia kemahiran bukan satu langkah ke belakang, sebaliknya satu perjalanan baharu yang mengubah masa depan dan memberi harapan kepada keluarga.

Program Tahfiz Mahir merupakan inisiatif tajaan penuh yang menggabungkan hafazan al-Quran dengan latihan kemahiran teknikal khusus untuk lepasan tahfiz, pondok, madrasah, dan Sijil Menengah Agama (SMA) berumur 18 hingga 35 tahun.

Program di bawah YP Advance Skills itu menawarkan tempoh pengajian bermula dengan sebulan hingga tiga bulan untuk fasa latihan sebelum menjalankan Latihan Industri (Praktikal) selama dua bulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast