Suasana di kaunter Tabung Haji ketika urusan pelanggan susulan pengumuman kadar agihan keuntungan sebanyak 3.50 peratus bagi tahun 2025 di Menara TH Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) tidak perlu bimbang mengenai kedudukan kewangan semasa institusi itu berikutan prestasi kewangannya yang terus mencatatkan perkembangan positif termasuk peningkatan aset bersih, keuntungan dan jumlah pendeposit dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, berdasarkan kedudukan kewangan semasa, TH mencatatkan aset bersih sebanyak RM3.2 bilion pada 2025 berbanding RM2.9 bilion sebelumnya.

Selain itu, ujarnya, keuntungan bersih TH turut meningkat kepada RM2.75 bilion pada 2025 berbanding RM2.21 bilion pada 2024, manakala jumlah pendeposit terus bertambah daripada 8.4 juta pada 2021 kepada 9.8 juta pada 2025.

“Oleh itu, para pendeposit TH seharusnya tidak risau berkenaan kedudukan kewangan semasa TH,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut beliau, pendeposit juga perlu memahami bahawa Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH telah lengkap disiapkan pada 2022 dan pengumumannya ketika ini adalah sebahagian daripada proses penyahklasifikasian dokumen.

Ujarnya, isu itu bukan masalah baharu yang timbul, sebaliknya rentetan daripada penemuan yang dibuat sejak 2018 dan usaha untuk memperbaiki kedudukan kewangan TH sudah dilaksanakan.

“Oleh itu, para pendeposit disaran membaca isi kandungan laporan RCI ini bagi mendapat gambaran yang jelas,” ujarnya.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid bercakap kepada wartawan Malaysiagatte ketika sesi temubual ekslusif Bukit Jelutong, Shah Alam. Foto HARI ANGGARA, 22 MEI 2025.

Mengulas mengenai prestasi pelaburan TH, Mohd Afzanizam berkata, pengurusan tertinggi, Lembaga Pengarah serta panel pelaburan TH ketika ini terdiri daripada golongan profesional yang mempunyai kepakaran dalam bidang kewangan.

Katanya, pengalaman dan kepakaran golongan profesional itu dilihat mampu membantu meningkatkan prestasi pelaburan TH, termasuk melalui pelarasan terhadap selera risiko dalam kelas aset yang dilaburkan.

“Sebagai contoh, Pengerusi TH ketika ini, Tan Sri Abdul Rashid Hussain merupakan figura besar dalam dunia kewangan, manakala Pengarah Eksekutif Pelaburan Lembaga TH, Hizamuddin Jamalluddin adalah bekas Ketua Pegawai Strategi Bank Islam Malaysia Berhad yang sememangnya arif dalam dunia kewangan Islam dan pasaran modal.

“Usaha pemulihan ini terbukti berkesan apabila TH dapat mengumumkan kadar dividen yang lebih tinggi pada tahun 2025 iaitu 3.50 peratus berbanding 1.25 peratus pada tahun 2018,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, laporan RCI TH juga berpotensi menjadi asas penting kepada penambahbaikan tadbir urus kewangan institusi berkenaan pada masa hadapan.

Katanya, pematuhan terhadap kehendak Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), khususnya keperluan memastikan nilai aset melebihi liabiliti sebelum kadar agihan keuntungan diumumkan, penting bagi memastikan kedudukan kewangan TH kekal mampan.

“Mematuhi kehendak Akta 535 yang mana keperluan nilai aset perlu lebih tinggi daripada liabiliti sebelum kadar dividen diumumkan adalah sesuatu yang membantu bagi memastikan kedudukan kewangan TH akan terus mampan pada masa akan datang.

“Justeru, ketelusan dalam laporan RCI TH serta langkah pemulihan yang dijalankan sejak 2018 seharusnya menjadi batu asas kepada tadbir urus yang lebih telus dan berintegriti, sekali gus meningkatkan keyakinan para pendepositnya,” katanya.

Beliau berkata, usaha pemulihan institusi itu juga sudah dilaksanakan dan kira-kira 75 peratus syor RCI TH dilaporkan telah dilaksanakan oleh TH.

Bagaimanapun, katanya, selain meneruskan pelaksanaan syor RCI, aspek komunikasi kepada pendeposit dan masyarakat perlu diperkukuhkan bagi mengelakkan salah faham mengenai kedudukan kewangan serta pengurusan TH.

“Usaha komunikasi kepada para pendeposit dan masyarakat amnya perlu ditingkatkan bagi mengelakkan salah faham mengenai kedudukan serta pengurusan TH,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast