MUAR – Seramai 3,503 penuntut menerima manfaat daripada Program Sabil Al-Hikmah dengan peruntukan RM723,967 bagi yang mengikuti pengajian di Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh di sini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts Dr Abdul Rasid Abdul Razzaq berkata, program berkenaan bertujuan meringankan beban kos sara hidup penuntut terbabit yang datang daripada keluarga B40.
Beliau memberitahu, jumlah berkenaan adalah sejak program tersebut dilaksanakan sejak Mac 2016 hingga bulan ini setakat ini.
“Bagi kemasukan pelajar Diploma sesi 2026/2027 di UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Program Sabil Al-Hikmah bermula pada 10 Ogos hingga 29 September 2026 dan akan diteruskan sepanjang semester pengajian.
“Seramai 100 pelajar diperuntukkan menerima bantuan makanan melalui kafeteria terpilih di kampus, sekali gus membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian mereka sepanjang tempoh pengajian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pada peringkat awal pelaksanaan, program itu digerakkan secara gotong-royong melibatkan warga dan Pusat Tanggungjawab (PTj) UTHM yang bersama-sama memasak serta menyediakan makanan untuk diagihkan kepada pelajar yang memerlukan.

“Seiring perkembangan semasa, kaedah pelaksanaan Program Sabil Al-Hikmah terus ditambah baik bagi memastikan bantuan dapat disampaikan dengan lebih mudah, tersusun dan sistematik,” katanya.
Menurut Abdul Rasid lagi, bantuan makanan yang disediakan bukan sekadar bertujuan meringankan beban kewangan penuntut, malah diharap dapat membantu mereka memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pengajian tanpa terlalu dibebani dengan kos sara hidup harian.
Ujarnya, mulai tahun lalu pelaksanaan program memasuki fasa pendigitalan menerusi penggunaan ‘Pay Sabil App’ yang membolehkan penerimaan makanan oleh pelajar direkodkan secara lebih sistematik.
“Kita mahu memastikan tiada pelajar UTHM yang tercicir atau terjejas pengajiannya disebabkan kekangan kewangan.
“Sabil Al-Hikmah merupakan manifestasi keprihatinan dan semangat kebersamaan seluruh warga universiti serta para penyumbang dalam menyantuni mahasiswa yang memerlukan dan usaha ini akan berterusan agar manfaatnya dapat diperluaskan kepada lebih ramai pelajar,” katanya.- MalaysiaGazette
















