Pengarah Kastam JDKM KLIA, Aspalila Ag Tuah menunjukkan bunga ganja dalam kotak permainan.

SEPANG – Taktik simpan bunga ganja dalam kotak permainan kanak-kanak untuk dieskport berjaya ditumpaskan dalam rampasan di Cawangan Pusat Mel dan Kurier Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 13 Julai lalu.

Rampasan itu dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA, dengan penemuaan empat bungkusan kotak permainan kanak-kanak.

Pengarah Kastam KLIA,  Aspalila Ag Tuah berkata, pemeriksaan menemukan bungkusan plastik lut sinar kedap udara mengandungi 12.657 kilogram (kg) bunga ganja yang bernilai RM1.01 juta.

“Siasatan awal mendapati, bungkusan itu dipercayai cuba dieksport ke salah sebuah negara Eropah menggunakan perkhidmatan kargo.

“Bagaimanapun, nombor telefon dipaparan kotak itu gagal dihubungi selain alamat pengirim serta penerima adalah palsu,” katanya dalam sidang media di Kompleks Kastam Kargo KLIA di sini hari ini.

Tambahnya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti lokasi bahan terlarang itu dibawa masuk selain mengesan individu terlibat.

Pengarah Kastam JDKM KLIA, Aspalila Ag Tuah menunjukkan bunga ganja yang ditemui dalam dua bagasi.

Sementara itu dalam kes berlainan, Aspalila berkata, pihaknya merampas dua bagasi yang ditinggalkan di Pejabat Lost & Found Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal 1 KLIA selama sebulan sebelum diperiksa pada 14 Julai lalu.

Aspalila berkata, semakan dua bagasi itu berjaya membongkar kandungan berisi dadah jenis bunga ganja bernilai RM3.82 juta dengan berat 47.8 kg.

“Siasatan mendapati, bagasi berkenaan dijadualkan untuk dibawa menaiki penerbangan ke Langkawi, namun telah ditinggalkan penumpang terbabit.

“Imbasan bagasi kemudian telah dilakukan dan mengesan imej mencurigakan sebelum pemeriksaan rapi dibuat oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA menemukan plastik kedap udara mengandungi bunga ganja,” ujarnya.

Tambah beliau, kes masih dalam siasatan termasuk memanggil syarikat penerbangan untuk membantu mengesan pemilik bagasi.

Katanya, kedua-dua kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast